ECB Mengukuhkan Jangkaan Menaikkan Kadar Faedah Julai Ini

by Irfan Saleh

European Central Bank (ECB) telah mengukuhkan jangkaan bahawa bank pusat Eropah itu akan menaikkan kadar faedah buat kali pertama dalam tempoh lebih sedekad pada bulan Julai ini bagi memerangi inflasi yang berada pada paras tertinggi dalam rekod. Malah, sesetengah penggubal dasar turut memberi petanda bahawa lebih banyak kenaikan akan dilakukan selepas kenaikan yang pertama.

Dengan penggubal dasar ECB berminggu-minggu menzahirkan pendapat agar kenaikan kadar dilakukan, Presiden ECB Christine Lagarde akhirnya menjawab gesaan tersebut dengan mengatakan bank pusat berkemungkinan akan mengakhiri rangsangan ekonominya pada awal suku ketiga, diikuti kenaikan kadar yang akan dilakukan “beberapa minggu” selepas itu.

Ketika bank pusat utama dunia lain telah pun menaikkan kadar faedah mereka ketika ini, ECB masih lagi bertindak mengekalkan kadar faedah semasa serta terus menyuntik wang ke sistem kewangan menerusi pembelian bon (QE).


Nota: Quantitative easing (QE) atau pelonggaran kuantitatif adalah satu tindakan merangsang ekonomi dengan menambahkan bekalan wang dalam ekonomi. Antara kaedah yang dilakukan adalah dengan membeli bon kerajaan.


Inflasi di zon euro telah mencecah 7.5% pada bulan lalu, hampir empat kali ganda daripada sasaran 2% ECB. Pada ketika ini, kadar faedah ECB adalah pada paras 0%.

Dalam dunia kewangan, apabila sesebuah bank pusat menaikkan kadar faedah, lazimnya mata wang negara berkenaan akan turut merekodkan pengukuhan.

Rujukan: Reuters

You may also like