BNM Naikkan OPR Kepada 2%

by Irfan Saleh

Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) pada hari Rabu telah menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas (0.25%) kepada 2% daripada paras terendah dalam rekod iaitu 1.75%.

Kenaikan tersebut dilakukan susulan situasi tekanan inflasi global yang tinggi serta pembukaan semula ekonomi global secara berterusan dan penambahbaikan dalam pasaran buruh terus membantu menyokong pemulihan aktiviti ekonomi daripada impak sekatan pergerakan COVID-19.


Nota: OPR adalah kadar faedah.


OPR pada paras 1.75% adalah yang terendah dalam rekod, berdasarkan data BNM yang bermula pada tahun 2004. Ia telah dikekalkan pada paras tersebut bermula 7 Julai 2020, apabila BNM memotong kadar daripada paras 2% sesulan wabak COVID-19.

Tekanan inflasi yang melonjak dengan mendadak berikutan kenaikan harga komoditi, rantaian bekalan yang terbeban serta persekitaran permintaan yang kukuh, terutamanya di Amerika Syarikat (AS) menyebabkan beberapa bank pusat terpaksa mengubah dasar monetari mereka pada kadar yang lebih pantas bagi mengurangi tekanan inflasi, menurut BNM dalam satu kenyataan.

Mengenai ekonomi Malaysia, BNM menyatakan indikator terbaru menunjukkan pertumbuhan ekonomi dalam keadaan yang baik, dipacu oleh permintaan domestik yang mengukuh di kala pertumbuhan eksport yang mampan.

BNM walau bagaimanapun menekankan bahawa risiko kepada pertumbuhan ekonomi masih kekal, termasuklah pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan, konflik geopolitik yang semakin menegang, gangguan rantaian bekalan yang lebih buruk serta perkembangan buruk mengenai COVID-19.

Rujukan: The Edge Markets

You may also like