Mata Wang Berasaskan Komoditi Terkesan Dengan Kejatuhan Harga Minyak

by Irfan Saleh

Sesi dagangan Asia hari Selasa menyaksikan dolar Australia (AUD) dan dolar Kanada (CAD) susut lantaran kejatuhan harga minyak global.

AUD susut sehingga serendah AS$0.6920, harga terendah sejak Julai 2020 selepas merekodkan kejatuhan 1.7% semalaman. Penganalisis di Commonwealth Bank menyatakan kejatuhan tersebut adalah disebabkan kelemahan dalam harga aset global.

“Latar belakang pertambahan ketidaktentuan pasaran kewangan menunjukkan AUD berkemungkinan akan terus jatuh berbanding USD dan mata wang utama lain dalam jangka pendek,” tambah mereka.

Harga minyak merekodkan kejatuhan disebabkan kebimbangan tinjauan permintaan global dengan situasi sekatan pergerakan di China – pengimport terbesar minyak dunia – serta ketegangan politik di Eropah rentetan konflik Rusia-Ukraine.

Niaga hadapan Brent jatuh 0.87% kepada AS$105.02 pada jam 10.33AM GMT+8 manakala niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) susut 0.84% kepada AS$102.22.

Kelemahan dalam harga minyak turut menjejaskan CAD, yang mencecah paras C$1.3037 per USD, bacaan terlemah sejak November 2020.

Semalam turut menyaksikan pasaran saham global menjunam dengan Nasdaq jatuh lebih 4% disebabkan jualan dalam saham mega cap.


Nota: Saham mega cap adalah saham syarikat dengan nilai pasaran melebihi AS$200 billion


Indeks dolar (DXY) stabil pada paras 103.7 pada pagi Selasa, selepas mencecah sehingga setinggi 104.19 semalaman, paras tinggi 20 tahun. Ia kemudiannya menyusut selepas Presiden Federal Reserve (Fed) Atlanta Raphael Bostic merendahkan kemungkinan kenaikan kadar faedah sebanyak 75 mata asas pada mesyuarat Fed yang seterusnya.

Pasaran baru-baru ini telah menetapkan kemungkinan yang sederhana bahawa Fed akan menaikkan kadar sebanyak itu.

Dalam berita lain, mata wang kripto terbesar dunia bitcoin jatuh di bawah paras AS$30,000 buat kali pertama sejak Julai 2021.

Rujukan: Reuters

You may also like