FX Harian: Berhati-hati dengan ‘Rally’ Singkat

by Irfan Saleh

Kestabilan dalam sentimen risiko selepas jualan besar-besaran ekuiti semalam dilihat mampu membantu mata wang berisiko tinggi mendapatkan semula keuntungan hari ini. Dolar AS (USD) mungkin mengalami sedikit tekanan, walaupun keinginan ”buy-the-dip” mungkin muncul rentetan latar belakang dasar monetari Federal Reserve (Fed), kebimbangan pertumbuhan ekonomi dan persekitaran risiko yang tidak stabil.

USD: Sebarang kelemahan dilihat tidak akan berkekalan


Niaga hadapan ekuiti global menunjukkan pemulihan tentatif dalam aset risiko global selepas jualan besar-besaran semalam mencetuskan ketakutan kemelesetan ekonomi di kala bank pusat mengetatkan dasar.

Adalah tidak mengejutkan untuk melihat USD kekal kuat dalam persekitaran yang tidak menentu ini, seterusnya mengekalkan daya tarikannya sebagai aset safe-haven dan pada masa yang sama mendapat manfaat daripada tindakan mengetatkan dasar oleh Fed.

Semalam, Fed memberi amaran mengenai keadaan kecairan yang semakin memburuk merentasi pasaran utama serta mengenai pertambahan risiko “kemerosotan material secara tiba-tiba.” Dari segi sejarah, keadaan kewangan yang lebih ketat biasanya menaikkan permintaan dolar AS.

Hari akan menyaksikan beberapa penggubal dasar Fed akan berucap. Impak sebarang komen dasar walau bagaimanapun, mungkin berkurangan disebabkan pasaran berkemungkinan menantikan data CPI esok sebelum melakukan sebarang pengubahsuaian dalam jangkaan kadar Fed.

ING berpendapatan sentimen risiko akan memacu semua pergerakan FX hari ini. Pemulihan risk-on mungkin berlaku selepas kejatuhan semalam, dan mata wang komoditi mungkin kembali mengukuh. Memandangkan terdapat ketidakstabilan dalam persekitaran risiko global, keinginan membeli USD di kala ia sedikit jatuh dilihat akan kekal tinggi dan dijangka tiada kelemahan berpanjangan USD dalam jangka pendek.

EUR: Tumpuan terhadap ZEW dan jurucakap ECB


EUR/USD sekali lagi cuba mencari support pada separuh atas julat 1.05-1.06. Daya tahan beserta potensi kestabilan dalam sentimen risiko hari ini dilihat mampu mendorong pemecahan di atas paras 1.0600. Namun, sebarang pergerakan ke atas dilihat terhad memandangkan terdapat pembeli USD serta kebimbangan mengenai sekatan minyak Rusia yang sedang dibincangkan dalam Kesatuan Eropah (EU). Pihak pembangkang Hungary kekal sebagai satu halangan utama ketika ini selepas Presiden Orban menentang embargo dalam menyekat minyak Rusia.

Dari segi data, pasaran akan memberi tumpuan kepada angka ZEW Jerman jam 5.00pm ini. Kedua-dua tinjauan “jangkaan” dan “situasi semasa” menunjukkan akan berlakunya kejatuhan pada bulan Mei memandangkan harga tenaga yang tinggi serta risiko geopolitik semasa. Namun, impak ZEW ke atas EUR/USD baru-baru ini dilihat remeh.

Selain itu, terdapat beberapa jurucakap dari European Central Bank (ECB) yang wajar diberi perhatian hari ini, dengan pasaran dilihat telah menetapkan jangkaan mereka mengenai kenaikan kadar pada bulan Julai. Salah satu ahli paling hawkish Majlis Pimpinan ECB, Joachim Nagel dari Jerman, akan berucap dahulu diikuti François Villeroy dan Luis De Guindos yang lebih sederhana.

Terdapat risiko ke atas yang sederhana untuk EUR/USD hari ini, dengan sebarang rally berkemungkinan terhenti sekitar paras 1.0650.

GBP: Stabil selepas beberapa minggu yang sukar


Mata wang pound British akhirnya menemui sedikit kestabilan selepas beberapa minggu yang sukar. Kestabilan dalam sentimen hari ini dilihat akan memberikan sokongan tambahan, dan berkemungkinan membantu GBP/USD kembali ke paras 1.2500.

Namun, jangkaan terlampau hawkish oleh pasaran terhadap pengetatan dasar oleh Bank of England (BoE) dan ketidaktentuan dalam tinjauan ekonomi Britain dilihat akan mengehadkan pergerakan GBP/USD. ING meramalkan paras 1.2400 untuk GBP pada musim panas, diikuti pemulihan beransur-ansur pada separuh kedua 2022.

Rujukan: ING Think

You may also like