Harga Minyak Susut Berikutan Kebimbangan Ekonomi Global & Undian EU Terhadap Sekatan Minyak Rusia

by Irfan Saleh

Harga minyak susut manakala pasaran saham Asia jatuh pada sesi dagangan pagi hari Isnin rentetan kebimbangan bahawa kemelesetan ekonomi global boleh menjejaskan permintaan minyak. Turut memberi kesan kepada harga minyak adalah perbincangan negara Kesatuan Eropah (EU) terhadap embargo minyak Rusia.

Minyak mentah Brent jatuh 28 sen, atau 0.3% kepada AS$112.11 setong pada jam 9.53am GMT+8 manakala minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) susut 41 sen atau 0.4% kepada AS$109.36 setong.

Sentimen meluas ketika ini adalah risk-off dicetuskan oleh kebimbangan kemelesetan ekonomi, serta sekatan pergerakan di China yang merupakan faktor utama yang memberi tekanan kepada harga minyak,” kata penganalisis CMC Markets Tina Teng.


Nota: Risk-off adalah keadaan di mana pelabur mengurangkan pelaburan kepada aset-aset risiko dan beralih kepada aset yang dirasakan lebih selamat seperti dolar AS dan emas.


Pasaran kewangan global juga turut bimbang dengan kenaikan kadar faedah serta sekatan pergerakan COVID-19 yang dilanjutkan di China yang menjejaskan ekonomi no.2 dunia itu.

“Sekatan pergerakan di China ketika ini berpotensi memberi kesan kepada harga jangka pendek minyak,” menurut Teng. Beliau menambah pemotongan harga oleh Arab Saudi juga mencerminkan kebimbangan mengenai permintaan harga minyak global.

Pada hari Ahad, Arab Saudi – pengeksport terbesar minyak dunia – merendahkan harga minyak mentah untuk Asia dan Eropah bagi bulan Jun.

Minggu lalu, Brent dan WTI mengukuh buat minggu kedua berturut-turut susulan kebimbangan bekalan selepas Suruhanjaya Eropah mencadangkan embargo berperingkat terhadap minyak Rusia sebagai pakej sekatan terhadap konflik di Ukraine. Cadangan tersebut memerlukan undian sebulat suara dalam kalangan negara EU.

Walau bagaimanapun, Asen Vasilev, Timbalan Perdana Menteri Bulgaria, pada lewat Ahad menyatakan negara itu akan memveto undian berkenaan sekiranya ia tidak mendapat pengecualian atau kelonggaran daripada embargo yang dicadangkan.

“Rundingan akan diteruskan pada hari Isnin, dan juga Selasa. Kedudukan kami adalah jelas. Sekiranya sesetengah negara boleh mendapat pengecualian atau pelonggaran, maka kami juga mahukannya,” kata Vasilev.

Rujukan: Reuters

You may also like