Malaysia Sasar Dapatkan Semula Pegangan Pasaran Minyak Kelapa Sawit Berikutan Kekurangan Bekalan di Eropah

by Irfan Saleh

Malaysia, pengeluar minyak kelapa sawit kedua terbesar di dunia, pada hari Jumaat menyatakan ia merancang memanfaatkan kekurangan minyak makan global serta “ketegangan politik di Eropah” untuk mendapatkan semula pegangan pasaran selepas komoditi itu ditolak para pembeli atas dakwaan kebimbangan alam sekitar.

Minyak kelapa sawit digunakan dalam hampir semua bahan daripada gincu sehinggalah kepada mi, namun pengeluar utama Indonesia dan Malaysia berdepan panggilan boikot selepas dituduh menggondolkan hutan hujan serta mengeksploitasi pekerja asing untuk membesarkan ladang secara pesat.

Beberapa syarikat telah memperkenalkan “produk bebas minyak kelapa sawit” belakangan ini, dan Kesatuan Eropah (EU) – pembeli minyak kelapa sawit ketiga terbesar di dunia – telah mengisytihar bahawa mereka akan menghentikan biofuel berasaskan minyak kelapa sawit menjelang 2030.

Akan tetapi, rangkaian pasaraya Iceland dari Britain, yang tidak lagi menggunakan minyak kelapa sawit dalam makanannya bermula 2018, telah terpaksa kembali kepada komoditi itu baru-baru ini susulan kekurangan minyak makan global rentetan peperangan Rusia-Ukraine serta larangan eksport minyak kelapa sawit dari Indonesia.

Harga minyak makan global diramal akan kekal tinggi untuk separuh pertama 2022 dan permintaan EU dijangka meningkat dalam jangka pendek berikutan kekurangan bekalan minyak bunga matahari dan minyak soya, menurut Zuraida Kamaruddin, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia.

Ukraine dan Rusia masing-masing merupakan pengeluar minyak bunga matahari pertama dan kedua terbesar di dunia, bertanggungjawab terhadap sekitar 69% penghasilan minyak tersebut.

Malaysia dan Indonesia, yang menyumbang kira-kira 85% pengeluaran minyak kelapa sawit dunia, mengekalkan pendirian bahawa sekatan EU terhadap biofuel berasaskan minyak kelapa sawit adalah satu bentuk diskriminasi dan telah membuat aduan terhadap Pertubuhan Perdagangan Dunia.

Rujukan: Reuters

You may also like