BoE Naikkan Kadar; GBP/USD Menjunam Lebih 100 Pips!

by Irfan Saleh

Topik Perbincangan: GBP/USD, BoE, Tinjauan Ekonomi


  • BoE naikkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas (0.25%).
  • Undian kadar faedah berpecah 6 (0.25%) – 3 (0.50%).
  • GBP menjunam berikutan kejutan BoE serta tinjauan ekonomi yang lemah.

Bank of England (BoE) pada petang ini telah menaikkan kadar faedah sebanyak 0.25% kepada 1%, yang juga merupakan paras tertinggi dalam 13 tahun. Ahli Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) telah mengundi majoriti 6-3 dengan minoriti mengundi kenaikan 0.50%. Pada mesyuarat Mac yang lalu, ahli jawatankuasa membuat undian 8-1 untuk menaikkan kadar sebanyak 0.25%, dengan seorang mengundi agar tiada perubahan dilakukan.

Perbezaan undian tersebut adalah satu kejutan buat pasaran dengan tidak ramai meramalkan sehingga tiga panggilan kenaikan sebanyak 0.50%. Mengeruhkan lagi keadaan adalah kenyataan BoE bahawa inflasi boleh memuncak sehingga “sekitar 10% tahun ini” dengan tekanan harga dijangka reda pada 2023 sebelum menghampiri sasaran pada 2024. BoE juga menyatakan pertumbuhan ekonomi negara atau KDNK akan perlahan secara mendadak pada tahun ini.

Mengenai pengetatan kuantitatif (QT), BoE “menegaskan semula” keputusan untuk mengumumkan bahawa jualan akan bergantung kepada keadaan ekonomi termasuklah situasi pasaran pada waktu berkenaan, dan jualan dijangka dijalankan secara beransur-ansur dan boleh diramal agar tidak menganggu “fungsi” pasaran kewangan.

Susulan pengumuman BoE tersebut, mata wang Pound Sterling (GBP) jatuh semula di bawah paras 1.2500 dengan pasaran mula meneliti tinjauan ekonomi yang semakin memburuk buat UK. GBP/USD susut lebih 100 pips dan kini berada di paras yang kali terakhir dilihat pada tahun 2020.

 

You may also like