Previu FOMC 4/5/22: Fed Dijangka Naikkan Kadar Sebanyak 0.5%, Kurangkan Rangsangan Kewangan

by Irfan Saleh

Pengerusi Federal Reserve (Fed) Jerome Powell dijangka mengumumkan tindakan paling agresif (jam 2.00am) bank pusat Amerika Syarikat (AS) bagi memerangi inflasi, namun para pelabur dilihat akan lebih memberi tumpuan kepada sidang media Powell (jam 2.30am) bagi mengetahui adakah Fed akan melakukan tindakan susulan yang lebih besar selepas ini ataupun tidak.

Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) dijangka menaikkan kadar faedah sebanyak setengah mata peratusan (0.5%) pada pengakhiran mesyuarat dasar dua hari pada hari Rabu (awal pagi Khamis waktu Malaysia) ini. Kenaikan 0.5% adalah merupakan kenaikan terbesar sejak tahun 2000, dan Fed turut menyatakan rancangan untuk mengecilkan saiz penyata kewangan yang bernilai AS$8.9 trillion.

Peningkatan 50 mata asas akan menjadi kenaikan terbesar sejak penggal Alan Greenspan sebagai pengerusi Fed. Ditambah dengan potensi impak mengecilkan saiz penyata kewangan serta skala peralihan dasar, ia mencerminkan rasa mendesak Fed bagi memerangi inflasi yang berada di tahap tertinggi dalam tempoh empat dekad.

Pasaran telah pun menetapkan kemungkinan tindakan tersebut…dengan beberapa pelabur meramalkan kenaikan yang lebih besar sebanyak 75 mata asas pada bulan Jun.

FOMC berkemungkinan telah dibentangkan dengan tiga pilihan sewaktu mesyuarat dasar yang dilakukan secara tertutup termasuklah kenaikan kadar sebanyak 75 mata asas. Namun sebarang kejutan mempunyai keberangkalian yang rendah, menurut Roberto Perli – ketua penyelidikan dasar global di Piper Sandler & Co. Ini kerana keputusan yang bakal diumumkan sudah dirasakan pasti dilakukan, maka tumpuan pelabur ketika ini adalah sewaktu sidang media Powell mengenai tindakan Fed pada masa hadapan, kata beliau.

“Orang ramai akan memberi tumpuan kepada setiap perkataan dan nada Powell,” kata Perli. “Beliau dilihat akan kekal hawkish dan tidak akan menolak sebarang kemungkinan.”

Selain daripada kenaikan kadar, FOMC turut dijangka akan mengumumkan rancangan bagi mengecilkan saiz penyata kewangannya bermula dengan tidak melaburkan semula sekuriti yang telah matang.

Minit mesyuarat dasar pada bulan Mac menunjukkan ahli jawatankuasa telah berbincang membuat pengurangkan maksimum bulan sebanyak AS$60 billion dalam Perbendaharaan dan AS$35 billion dalam sekuriti bersandarkan gadai janji. Jumlah tersebut akan menjadikan keseluruhan tahunan melebihi AS$1 trillion, selaras dengan jangkaan pasaran.

Bagi para trader, satu perkara yang perlu diberi perhatian adalah sewaktu sidang media Powell. Disebabkan orang ramai memberi tumpuan kepada setiap kata-kata Powell, perkara itu boleh mendatangkan salah faham, seterusnya menyebabkan berlakunya ketidaktentuan dalam pasaran.

Rujukan: Bloomberg

You may also like