Emas Mengukuh, Namun Bakal Merekodkan Prestasi Bulanan Terburuk Sejak September 2021

by Irfan Saleh

Harga emas mengukuh sewaktu sesi pagi dagangan Asia dan pembukaan sesi dagangan Eropah berikutan kebimbangan pelabur terhadap data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Amerika Syarikat (AS). Logam berharga itu walau bagaimanapun bakal merekodkan prestasi bulanan terburuk sejak September 2021 rentetan jangkaan bahawa Federal Reserve (Fed) akan menaikkan kadar faedah secara agresif sewaktu mesyuarat dasar pada minggu hadapan.

Niaga hadapan emas meningkat 0.87% kepada AS$1,907.70 pada jam 1.16pm GMT+8 namun telah susut sekitar 2% pada bulan April setakat ini.

Penguncupan KDNK AS sebanyak 1.4% pada suku pertama 2022 dilihat mampu mengurangkan tekanan terhadap Fed untuk mengetatkan dasar seperti yang dikatakan sebelum ini, satu retorik yang telah memberi tekanan kepada harga emas belakangan ini, menurut ahli strategi mata wang DailyFX Ilya Spivak kepada Reuters.

“Hal ini memberi sedikit kelegaan kepada emas serta mengurangkan momentum dolar AS. Cumanya saya tidak menjangkakan perkara ini akan berterusan,” tambah Spivak.

Penggubal dasar Fed sebulat suara mengenai rancangan mempercepat kenaikan kadar faedah pada 2022. Namun, mereka masih tidak mencapai kata sepakat mengenai sepantas mana mereka patut melakukannya bagi mengelakkan berlakunya kemelesetan ekonomi.

Kejatuhan nilai emas didorong oleh pengukuhan dolar AS serta peningkatan hasil pulangan Perbendaharaan AS pada bulan ini. Dolar, yang kebiasaanya bergerak bertentangan daripada emas, sedikit jatuh pada hari Jumaat namun stabil pada paras tinggi 20 tahun berbanding mata wang Yen yang dicecah sewaktu sesi terdahulu.

Rujukan: Investing.com

You may also like