Dolar AS Cecah Paras Tinggi 20 Tahun vs Yen!

by Irfan Saleh

Dolar AS (USD) melonjak ke paras tinggi dua dekad berbanding yen pada hari Khamis selepas Bank of Japan (BoJ) bertindak mengekalkan dasar monetari ultra-rendah, malah turut menawar untuk membeli bon tanpa had dalam setiap sesi dagangan sekiranya diperlukan.


Nota: Apabila bank pusat membeli bon kerajaan, ia bertindak menyuntik duit ke pasaran wang, seterusnya menambah bekalan wang yang ada. Tindakan tersebut dipanggil sebagai pelonggaran kuantitatif (QE) dan merupakan salah satu usaha untuk merangsang ekonomi.


Keputusan ultra-dovish itu sememangnya bertentangan dengan Federal Reserve (Fed), di mana pasaran menetapkan Fed akan menaikkan kadar faedah sebanyak 150 mata asas (1.5%) hanya dalam tiga mesyuarat dasar. Jangkaan tersebut menyebabkan pelabur membeli USD, seterusnya menyebabkan USD terus mengukuh.

Hal itu menyaksikan USD melonjak 1.3% kepada 129.70 yen, paras yang tidak pernah dilihat sejak 2002, dan mengancam menguji paras psikologi 130.00 yen. Bulan April juga menyaksikan dolar mengukuh sebanyak 6.6%, prestasi terbaik sejak lewat 2016.

“Selepas berminggu keluarnya kenyataan mengelirukan terhadap yen daripada pegawai kerajaan Jepun, BoJ telah memberikan mesej yang jelas – inflasi bukan satu isu yang besar, jadi kadar faedah rendah akan kekal,” menurut Sean Callow, ahli strategi kanan mata wang Westpac di Sydney.

“Paras 130 USD/JPY mungkin merupakan satu nombor bulat, tetapi ia bukanlah satu garis merah, dengan tumpuan dilihat bakal beralih kepada 135, paras tinggi 2002,” tambah beliau. “Yen bukanlah diabaikan, tetapi kebanyakannya adalah disebabkan kesan sampingan daripada BoJ.

Jika BoJ mengekalkan kadar faedah serendah -0.1%, pasaran pula menjangkakan Fed akan menaikkan kadar faedah sebanyak 0.5% pada bulan Mei, Jun dan Julai, sebelum berhenti pada 3.0% pada akhir tahun.

Rujukan: Reuters

You may also like