Info FX: Tinjauan EUR, GBP & AUD

by Irfan Saleh

Perbezaan dasar antara Federal Reserve (Fed) dan bank pusat dengan kadar faedah rendah (ECB, BoJ) bermakna kekuatan menyebelahi dolar AS (USD). EUR/USD berkemungkinan menguji 1.7000 tidak lama lagi, GBP/USD berpotensi berdagang di bawah 1.3000 manakala AUD mungkin terhalang daripada sebarang pengukuhan jangka pendek.

EUR: Risiko Penyusutan Kekal


Mesyuarat European Central Bank (ECB) minggu lalu jelas tidak menepati ramalan hawkish pasaran, seterusnya memaksa pasaran menetapkan semula jangkaan mereka. Menjadi fokus adalah jurang kadar faedah Fed-ECB – penentu utama dalam pergerakan EUR/USD – yang dilihat akan kekal berbeza ketika ini. Kita akan mendengar daripada Presiden ECB Christine Lagarde minggu ini, namun sebarang perubahan pendirian terhadap dasar dilihat tidak mungkin. Dari segi data, Purchasing Manager Index (PMI) akan menjadi tumpuan pasaran.

Selain daripada perbezaan dasar monetari, EUR/USD juga berhadapan risiko penyusutan yang lain minggu ini, dengan pusingan kedua pilihanraya Perancis (24 April) semakin hampir. Tinjauan terkini melihat kelebihan yang selamat kepada Presiden Emmanuel Macron berbanding pesaingnya Marine Le Pen, namun jangkakan keinginan terhadap EUR akan kekal rendah sehinggalah undian hujung minggu ini.

Pada masa yang sama, terdapat perkembangan membimbangkan mengenai konflik Rusia-Ukraine selepas peluru berpandu mengenai bandar Lviv, yang dianggap sebagai satu kawasan selamat berikutan jaraknya yang dekat dengan sempadan Poland.

Kombinasi-kombinasi faktor ini dilihat akan menjejaskan sebarang pemulihan dalam euro, dan tidak mustahil EUR/USD akan menguji paras 1.0700 dalam hari mendatang.

GBP: Masa untuk Pergerakan Penentuan di Bawah 1.30?


Dua data yang wajar diberi perhatian dalam kalendar United Kingdom (UK) minggu ini adalah data jualan runcit dan PMI pada hari ini, serta ucapan daripada Gabenor Bank of England (BoE) Andrew Bailey dan Catherine Mann pada hari Khamis.

Pound Sterling (GBP) ketika ini berdagang sekitar 1.3000 berbanding dolar AS (USD). Pemecahan di bawah paras ini bersifat sementara sahaja sewaktu Mac-April, namun USD yang mempunyai dorongan kuat serta kurangnya pemacu utama terhadap GBP minggu ini berkemungkinan menghasilkan penyusutan yang lebih jelas dalam GBP/USD.

AUD: Minit RBA Mengulangi Tumpuan Terhadap Gaji


Dalam minit mesyuarat dasar Reserve Bank of Australia (RBA) yang dikeluarkan awal minggu ini, bank pusat itu menegaskan semula bahawa pertumbuhan gaji kekal sebagai penentu utama dalam sebarang keputusan dasar akan datang, dan petanda kos buruh yang semakin melaju dan data CPI dilihat akan mempercepatkan rancangan menaikkan kadar faedah.

Pasaran kini menetapkan kemungkinan yang sangat tinggi terhadap kenaikan kadar pada bulan Jun berikutan mesyuarat pada bulan Mei akan berlangsung sebelum keluarnya data pertumbuhan gaji suku pertama.

Ketika ini, dolar Australia (AUD) kekal terikat dengan faktor luaran, terutamanya terhadap pergerakan harga komoditi serta sentimen berkaitan China. Data KDNK terbaru China adalah lebih baik daripada jangkaan dan bank pusat telah mengumumkan langkah baru untuk menyokong perniagaan. Akan tetapi, ketidaktentuan mengenai impak penutupan dan penyekatan (lockdown) kekal tinggi, seterusnya berkemungkinan mengekang sebarang pengukuhan AUD dalam jangka pendek.

Rujukan: ING Think

You may also like