Fed Akan Ketatkan Dasar Monetari – Apa Yang Perlu Diberi Perhatian?

by Irfan Saleh

Tempoh 24 jam akan datang adalah satu tempoh yang penuh potensi bagi para pelabur! Data jualan runcit Amerika Syarikat (AS), data inflasi Kanada, data pekerjaan Australia, data KDNK New Zealand dan kadar faedah Britain semuanya bakal diterbitkan, namun acara yang menjadi tumpuan ramai sudah pasti adalah pengumuman dasar monetari Federal Reserve (Fed).

Pengetatan dasar akan dilaksanakan dengan Fed dijangka menaikkan kadar faedah buat kali pertama sejak 2018. Malah, awal Februari lalu, majoriti berpendapat kenaikan sebanyak 50 mata asas (0.5%) akan dilakukan. Itu adalah sebelum Rusia menyerang Ukraine, dan walaupun tekanan inflasi telah meningkat sejak itu, ketidaktentuan semasa adalah terlalu hebat untuk Fed menaikkan kadar seagresif itu.

Sungguhpun begitu, kenaikan kadar awal pagi esok akan menjadi yang pertama dalam siri-siri kenaikan kadar faedah dengan pasaran menetapkan peningkatan lebih 150 mata asas (1.5%) pada tahun ini. Aset-aset AS daripada dolar kepada saham dan hasil bon semuanya meningkat sebelum FOMC, satu fenomena yang memberitahu kita bahawa pelabur menjangkakan pengetatan beransur-ansur daripada bank pusat.

Jika anda berminat untuk berdagang esok, ada tiga peristiwa yang wajar diberi perhatian. Pertama adalah data jualan runcit AS pada jam 8.30pm ini. Pertumbuhan pekerjaan telah mencatatkan prestasi yang bagus, namun ahli ekonomi melihat perbelanjaan pengguna akan perlahan selepas mengukuh pada awal tahun ini. Jika jualan runcit meningkat lebih daripada jangkaan memandangkan kos makanan dan tenaga yang lebih tinggi serta pertumbuhan kerja yang kukuh, maka dolar AS (USD) dilihat akan terus mengukuh dengan USD/JPY berdagang menghampiri 119. Jika jualan runcit tidak menepati jangkaan dengan meningkat kurang daripada 0.4% pada Februari, USD sepatutnya menyusut dengan pelabur bimbang mengenai permintaan yang terus berkurang pada Mac susulan kenaikan harga.

Jam 2.00am Khamis nanti pula adalah pengumuman dasar monetari Fed. Pada masa itu, kita akan maklum mengenai berapa banyak kadar dinaikkan dan bagaimana Fed melihat inflasi dan pertumbuhan dalam suku mendatang. Bank pusat mengeluarkan unjuran ekonomi dan dot plot empat kali setahun. Pada bulan Mac, jangkaannya adalah ramalan CPI akan dinaikkan, ramalan pekerjaan dikurangkan manakala unjuran kadar pengangguran tidak berubah. Ramalan kadar Dana Fed sepatutnya meningkat secara signifikan dengan Fed memihak kepada pengetatan yang lebih pantas. Kesemua ini SEPATUTNYA positif untuk USD berikutan isyarat keinginan untuk mengetatkan dasar serta kesanggupan melakukannya secara agresif selepas redanya konflik Rusia-Ukraine.

Naik turun dolar AS pada peringkat awal mungkin tidak terlalu agresif sebelum sidang media Presiden Fed Jerome Powell pada jam 2.30am Khamis. Pelabur akan memberi tumpuan mengenai panduan bank pusat serta berapa jelas kenyataan beliau mengenai hala tuju polisi bank pusat.

Persoalan utama sekarang adalah betapa bimbangnya beliau mengenai peningkatan dalam tekanan harga baru-baru ini serta keperluan untuk meneruskan pengetatan walaupun terdapat ketidaktentuan dalam pertumbuhan. Jika Powell kekal hawkish, hasil bon AS akan terus mengukuh, seterusnya menambah permintaan terhadap USD. Namun jika terdapat keraguan dalam ayat blaiu, dolar berkemungkinan menjunam secara pantas dan agresif.

Dalam berita lain, indeks sentimen ekonomi ZEW Jerman yang lebih lemah daripada jangkaan tidak menghalang pelabur daripada membeli euro yang berada dalam keadaan oversold. Kejatuhan dalam harga minyak dan kenaikan saham telah membantu mengimbangi jualan euro. Pound british (GBP) turut rally selepas kadar pengangguran jatuh kepada 3.9% daripada 4.1%.

Selain itu, Dolar New Zealand (NZD) turut mencatatkan pengukuhan susulan PMI sektor perkhidmatan yang kuat. Dolar Australia (AUD) pula sedikit terjejas selepas perintah berkurung di Australia meningkatkan kebimbangan mengenai pertumbuhan ekonomi.

Rujukan: Investing.com

You may also like