Apa Itu SWIFT?

by Irfan Saleh

SWIFT adalah satu terma yang kerap kali disebut dalam konflik Rusia – Ukraine ketika ini. Rentetan tindakan Rusia menyerang Ukraine, banyak sekatan yang dikenakan ke atas Rusia, namun satu cadangan sekatan yang mendapat tumpuan di peringkat global adalah larangan terhadap Rusia daripada Persatuan Telekomunikasi Kewangan Antara Bank Sedunia atau Society for Worldwide Interbank Financial Telecommunication (SWIFT).

Satu komponen kritikal dalam sistem pembayaran antarabangsa, SWIFT berfungsi sebagai penyedia perkhidmatan pesanan kewangan global terbesar serta memudahkan hubungan yang diperlukan dalam membuat bayaran merentas sempadan.

Terhalang daripada SWIFT bermakna tiada komunikasi dengan dunia. Pengharaman SWIFT terhadap sesuatu negara akan melumpuhkan kebolehan negara tersebut untuk menerima bayaran daripada eksport (seperti minyak, gas dan komoditi berharga yang lain).

Namun tidak semua negara bersetuju dengan pengharaman SWIFT. Negara yang berdagang dengan Rusia mungkin tidak mahu rangkaian pembayaran untuk hilang secara keseluruhan atas kebimbangan tidak mampu menyelesaikan perdagangan semasa.

Apa yang pasti, larangan menggunakan SWIFT pernah dikenakan terhadap Iran di atas program nuklearnya pada tahun 2012. Kesannya, hasil eksport minyak Iran jatuh secara mendadak serta menjejaskan perdagangan antarabangsa.

Apa fungsi SWIFT?

SWIFT itu sendiri bukanlah satu proses pembayaran; sebaliknya ia memberi dan menjamin keselamatan mesej antara firma global dalam memudahkan pembayaran. Keperluan SWIFT datang daripada ketiadaan keseragaman yang menyukarkan bank di Hong Kong, sebagai contoh, untuk menghantar wang kepada bank di Amerika Syarikat (AS).

Diasaskan pada 1970-an, SWIFT mencipta satu platform pemesejan dan sistem komputer bagi mengesah dan menghantar maklumat berkaitan pembayaran di seluruh dunia. Ibu pejabat SWIFT terletak di Belgium dan dimiliki serta dikawal oleh kohort institusi kewangan.

Hari ini, sekitar 11,000 firma di lebih 200 negara dihubungkan dengan SWIFT, yang telah membantu menguruskan lebih 8.4 bilion mesej.

SWIFT ditadbir oleh lembaga yang terdiri daripada 25 pengarah bebas yang mewakili bank-bank di seluruh dunia. Bank pusat G-10 (termasuklah dari AS, United Kingdom (UK) dan European Central Bank (ECB)) terlibat dalam memantau SWIFT.

Bagaimana sesebuah negara boleh dilarang daripada menggunakan SWIFT?

SWIFT sendiri tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan terhadap sebarang bentuk sekatan, namun ia patuh sepenuhnya terhadap undang-undang sekatan yang boleh dikenakan daripada kerajaan dan penggubal undang-undang.

Pada Mac 2012, Kesatuan Eropah (EU) mengeluarkan peraturan yang menghalang SWIFT daripada menyediakan perkhidmatan pemesejan kewangan kepada bank-bank Iran yang disekat EU. Sebagai satu organisasi Belgium, SWIFT perlu mematuhi dan telah bertindak dengan memutuskan sambungan bank yang disekat daripada rangkaian.

Dengan Rusia, regulasi yang serupa mungkin diperlukan bagi melaksanakan larangan baru, seterusnya memerlukan persetujuan daripada negara EU seperti Jerman.

Kenapa sesebuah negara mungkin tidak mahu menyokong larangan SWIFT?

Untuk negara yang mempunyai hubungan perdagangan secara langsung dengan Rusia, larangan menggunakan SWIFT berkemungkinan membawa kepada ketidakbolehan untuk menyelesaikan perdagangan yang sedang berlangsung yang kritikal bagi sesetengah negara Eropah. Jerman dan Itali misalnya, bergantung kepada gas asli Rusia berbanding negara EU yang lain.

Terdapat juga persoalan mengenai sejauh mana keberkesanan larangan SWIFT. Disebabkan SWIFT bukanlah satu proses pembayaran, syarikat boleh beralih kepada sistem pemesejan alternatif untuk memudahkan pembayaran.

AS telah mengambil pendirian bahawa menyekat bank-bank di Rusia adalah cara yang lebih baik untuk melemahkan hubungan kewangan Rusia dengan dunia. VTB dan Sberbank, dua bank terbesar Rusia kini tidak lagi mempunyai akses langsung terhadap dolar AS.

Rujukan: Yahoo Finance

You may also like