Dolar AS Mengukuh ke Paras Tinggi Lima Minggu Selepas Keputusan Federal Reserve

by Irfan Saleh

Dolar AS (USD) mengukuh ke paras tinggi lima minggu selepas Federal Reserve (Fed) menyatakan ia berkemungkinan akan menaikkan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) pada bulan Mac sebelum kemudiannya melancarkan pengurangan signifikan dalam pegangan asetnya.

Manakala bagi dolar Kanada (CAD) pula, matawang tersebut susut 0.35% berbanding USD, mencecah sehingga 1.27 selepas Bank of Canada (BoC) mengejutkan sebahagian pasaran dengan mengekalkan kadar faedah pada paras sedia ada iaitu 0.25% walaupun inflasi mencatatkan bacaan tertinggi dalam tempoh 30 tahun.

Langkah Fed, beserta pengesahan rancangan untuk mengakhiri program pembelian bon pada bulan Mac bermakna Fed akan beralih sepenuhnya daripada dasar monetari yang mentakrifkan era pandemik kepada peperangan terhadap inflasi.

Saham di Wall Street kebanyakannya dijual selepas komen Fed itu membangkitkan ketidaktentuan. Kenyataan Fed menimbulkan persoalan terutamanya mengenai perancangan untuk mengurangkan penyata imbangan berjumlah hampir AS$9 trillion.

Menurut Russell Price, ketua ekonomi di Ameriprise Financial, kenyataan tersebut meninggalkan banyak persoalan lagi-lagi mengenai menyelesaikan penyata imbangan Fed rentetan tiada butiran terperinci diberikan.

Indeks dolar, yang menjejaki USD berbanding enam matawang utama lain, berdagang 0.53% lebih tinggi dan mengukuh ke paras tinggi yang kali terakhir dilihat pada 22 November.

Euro susut 0.51% kepada AS$1.1241, manakala yen Jepun melemah 0.64% kepada 114.58 per dolar AS.

Rujukan: Reuters

You may also like