Inflasi di Turki Akan Memuncak Sehingga 40% Pada 2022?

by Irfan Saleh

Menteri Kewangan Turki Nureddin Nebati memberitahu ahli ekonomi bahawa beliau menjangkakan kadar inflasi untuk memuncak sehingga sekitar 40% dalam bulan mendatang, namun tidak melepasi 50% pada tahun ini.

Nebati memberikan pandangan beliau yang paling terperinci setakat ini mengenai harga pengguna pada tahun 2022 sewaktu pertemuan bersama 60 ahli ekonomi dan penganalisis pada hari Sabtu di Istanbul. Menteri itu berkata kadar inflasi berkemungkinan tidak akan jatuh di bawah 30% sehingga akhir tahun ini.

Disember lalu, kadar inflasi di Turki telah mencecah 36.1%, bacaan tertinggi sepanjang tempoh pemerintahan 19 tahun Presiden Recep Tayyip Erdogan. Sesetengah bank di Wall Street menjangkakan krisis matawang tahun lalu akan menyebabkan inflasi melepasi paras 50%.

Peningkatan harga dipacu oleh tindakan bank pusat Turki yang bertindak memotong kadar penanda aras sebanyak 500 mata asas (5%) dalam empat mesyuarat berturut-turut, sebelum mengumum untuk menghentikan kitaran pelonggaran pada hari Khamis. Pelonggaran agresif itu dituntut oleh Erdogan, yang berpendirian bahawa kadar yang rendah akan mengekang harga pengguna dan meningkatkan pertumbuhan.

Matawang lira hilang sehingga separuh daripada nilainya dalam tempoh tiga bulan sebelum stabil susulan langkah kecemasan yang diperkenalkan kerajaan pada bulan Disember, termasuklah program untuk memberi pampasan kepada pemegang matawang lira untuk penurunan matawang utama.

Nebati menjangkakan langkah tersebut mungkin menyebabkan $10 bilion aset korporat ditukar kepada lira bagi membantu menyokong matawang.

Rujukan: The Edge Markets

You may also like