Inflasi UK Tertinggi Dalam Tempoh Hampir 30 Tahun!

by Irfan Saleh

Selepas zon Euro yang merekodkan bacaan inflasi yang tinggi, United Kingdom (UK) turut mencatatkan situasi yang sama apabila harga pengguna meningkat setinggi 5.4% pada bulan Disember, tertinggi dalam tempoh hampir 30 tahun berdasarkan data rasmi yang diterbitkan pada hari Rabu. Perkara itu sekaligus memberi tekanan kepada Bank of England (BoE) untuk menaikkan lagi kadar faedah pada bulan hadapan.

Ahli-ahli ekonomi yang ditinjau oleh Reuters menjangkakan kadar Indeks Harga Pengguna (CPI) tahunan akan meningkat kepada 5.2% pada bulan Disember daripada 5.1% pada bulan November.

Menurut Jabatan Perangkaan UK, peningkatan CPI ke bacaan tertinggi sejak Mac 1992 disumbang terbanyak daripada industri makanan dan minuman diikuti restoran dan hotel.

Gangguan ekonomi daripada varian COVID-19 Omicron walaubagaimanapun hanya memberi impak yang kecil kepada inflasi.

Bulan lalu, BOE merupakan bank pusat utama dunia yang pertama untuk bertindak meningkatkan kadar faedah sejak bermulanya pandemik COVID-19.

Inflasi yang tinggi turut menjadi satu masalah politik kepada kerajaan Perdana Menteri Boris Johnson, yang menerima desakan daripada pembangkang dan badan amal untuk mengimbangi jangkaan kenaikan 50% dalam harga tenaga isi rumah pada April ini.

BoE meramalkan CPI akan memuncak pada paras tinggi 30 tahun sekitar 6% pada April ini berikutan bil tenaga yang lebih tinggi, dan memerlukan lebih dari dua tahun untuk CPI kembali kepada sasaran 2%.

Pasaran kewangan melihat peluang yang tinggi bahawa BoE akan menaikkan kadar faedah pada 3 Februari ini.

Kitty Ussher, ketua ekonomi di Institut Pengarah, Kitty Ussher berkata beliau menjangkakan BoE akan meningkatkan kadar faedah kepada 0.5% daripada 0.25% pada bulan hadapan.

Rujukan: Reuters

You may also like