Harga Minyak Mengukuh Ekoran Kebimbangan Bekalan, Impak Terhad Omicron

by Irfan Saleh

Harga minyak mencatatkan pengukuhan pada hari Isnin, dengan niaga hadapan Brent mencecah harga tertinggi dalam tempoh lebih tiga tahun susulan jangkaan para pelabur bahawa bekalan akan kekal terhad dengan permintaan global tidak terjejas dengan varian Omicron.

Niaga hadapan Brent meningkat 40 sen, atau 0.5% kepada $86.46 setong pada jam 2.41 pm GMT +8. Pada sesi awal dagangan hari ini, kontrak niaga hadapan itu mencecah paras tertinggi sejak 3 Oktober 2018 apabila mencatatkan bacaan harga setinggi $86.71.

Bagi minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) pula, harga mengukuh 58 sen, atau 0.7% untuk mencatatkan bacaan harga $84.40 setong, selepas mencecah paras tertinggi sejak 10 November 2021 pada sesi awal dagangan dengan harga $84.78.

Peningkatan ini adalah penerusan daripada rally minggu lalu yang menyaksikan Brent meningkat lebih 5% manakala WTI naik lebih 6%.

Pembelian minyak secara kelam-kabut, dipacu kekurangan bekalan dan petanda bahawa varian Omicron tidaklah seteruk yang dijangka, telah mendorong beberapa gred minyak mentah ke paras tinggi berbilang tahun, seterusnya mencerminkan bahawa rally dilihat akan berterusan, menurut para pedagang.

“Sentimen bullish berterusan selepas OPEC+ tidak menghasilkan bekalan secukupnya bagi memenuhi permintaan global,” menurut Toshitaka Tazawa, penganalisa dari Fujitomi Securities Co Ltd.

Beliau menambah, sekiranya dana pelaburan meningkatkan peruntukan berat untuk minyak mentah, harga boleh mencecah paras tinggi seperti yang dilihat pada tahun 2014.

Simpanan minyak mentah Amerika Syarikat (AS) walaubagaimanapun, susut ke paras terendah sejak Oktober 2018, namun inventori gas melonjak berikutan permintaan yang lemah, menurut Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) pada hari Rabu.

[Reuters]

You may also like