USD Terus Melemah Buat Hari Ke-4. Mengapa?

by Irfan Saleh

Dolar AS (USD) terus mencatatkan penyusutan buat hari keempat berturut-turut ke paras terendah dalam tempoh lebih dua bulan.

Pada hari Jumaat, matawang greenback itu jatuh 0.2% kepada 94.62 berbanding matawang utama lain, bacaan terendah sejak awal November. Semalam, USD turut merekodkan paras di bawah moving average 100-hari buat kali pertama sejak Jun 2021.

“Ekonomi Amerika Syarikat (AS) berada dalam prestasi yang sangat baik, tetapi keluk hasil yang mendatar serta dolar yang melemah memberi mesej yang berbeza,” menurut Kenneth Broux, ahli strategi FX di Societe Generale.

“Pembetulan USD dari paras rendah November memberi gambaran bahawa para pelabur melihat nilai yang lebih baik di tempat lain berikutan potensi perubahan polisi yang lebih pantas dan agresif oleh Federal Reserve (Fed) memberi ancaman melemahkan ekonomi dan mengurangkan penilaian aset.”

Hasil Perbendaharaan 10-tahun yang diselaraskan dengan inflasi telah meningkat 40 mata asas dari awal tahun ini, sekaligus mengancam menjejaskan pasaran saham dan memberi kesan terhadap prospek ekonomi.

Pakar strategi HSCB pula berkata pasaran semakin bimbang mengenai impak niat Fed terhadap pertumbuhan ekonomi, daripada pengurangan penyata imbangan sehinggalah kepada peningkatan kadar faedah.

“Dalam erti kata lain, pasaran tidak pasti adakah perkara ini baik atau tidak untuk USD,” menurut HSBC.

Berbanding matawang utama lain, kelemahan USD sangat jelas apabila dibandingkan dengan yen Jepun (JPY) dan yuan China (CNY), yang mana ia telah susut sebanyak 0.4% dan 0.3%.

Euro (EUR) mengukuh lebih 1% setakat minggu ini, akhirnya melepasi julat harga yang sama sejak lewat November untuk mencecah paras tertinggi sejak 11 November iaitu $1.1483.

Sterling (GBP) turut meningkat, walaupun berhadapan dengan krisis politik yang mengancam posisi Perdana Menteri Boris Johnson. GBP kini berada dalam haluan mencatatkan pengukuhan buat minggu keempat berbanding USD.

[Reuters]

You may also like