USD Susut Susulan Komen Powell; Bakal Berdepan Ujian CPI

by Irfan Saleh

Dolar AS (USD) susut ke paras terlemah sejak November berbanding matawang utama lain pada hari Rabu, selepas Presiden Federal Reserve (Fed) Jerome Powell menyatakan kemungkinan mengambil tempoh masa berbulan-bulan untuk membuat keputusan mengenai mengurangkan penyata imbangan Fed yang bernilai $9 trillion.

Dalam keterangan sewaktu pendengaran penamaan semula beliau, Powell berkata ekonomi Amerika Syarikat sudah bersedia untuk kadar faedah yang lebih tinggi serta pengurangan pegangan asetnya – dikenali sebagai pengetatan kuantitatif (QT) – bagi memerangi inflasi. Namun beliau menambah bahawa penggubal dasar masih lagi tidak bersepakat mengenai pendekatan yang boleh dilakukan untuk mengurangkan penyata imbangan imbangan, dan mungkin mengambil dua, tiga atau empat perjumpaan untuk mencapai keputusan bersama.

Komen Powell adalah kurang “hawkish” berbanding rakan Fed yang lain, seterusnya meredakan kebimbangan pasaran mengenai penarikan mengejut sokongan monetari daripada bank pusat itu.

Sebagai contoh, Presiden Fed Atlanta Raphael Bostic berkata pada hari Isnin bahawa inflasi tinggi dan pemulihan yang kukuh memerlukan pengurangan pantas dalam pegangan aset Fed.

Indeks dolar, yang menjejaki USD dengan enam matawang utama lain, susut ke 95.563 sewaktu sesi dagangan Asia, paras terendah sejak 30 November.

Data inflasi pengguna atau Consumer Price Index (CPI) AS bakal diterbitkan hari ini pada jam 9.30pm GMT+8, dengan inflasi dilihat berada pada paras 7% berdasarkan tahun ke tahun, menguatkan senario kenaikan awal kadar faedah.

Rujukan: Reuters

You may also like