GBP Terkukuh Berbanding Euro Sejak Februari 2020

by Irfan Saleh

Matawang Pound Sterling (GBP) pada hari Isnin merekodkan paras tertinggi berbanding matawang Euro (EUR) sejak Februari 2020 susulan jangkaan kadar faedah akan dinaikkan serta berkurangnya kebimbangan mengenai kesan buruk varian Omicron terhadap ekonomi.

Penganalisa berkata GBP telah mengukuh sejak pertengahan Disember berikutan sentimen yang bertambah baik hasil pendirian kerajaan United Kingdom (UK) untuk tidak mengetatkan sekatan COVID-19.

UK memberi tumpuan kepada pemberian dos penggalak vaksinasi – yang telah diambil lebih daripada 60% penduduk – berbanding melaksanakan semula sekatan pergerakan.

Sementara itu, para pelabur kini rata-rata menjangkakan bahawa Bank of England (BoE) akan meningkatkan kadar faedah seawal bulan hadapan selepas membuat keputusan mengejut meningkatkan kadar faedah Disember lalu.

Penganalisa ING berkata mereka melihat peningkatan 0.4% bulan ke bulan dalam laporan KDNK UK bulan November yang akan diterbitkan esok. Jika benar, ia akan mengekalkan jangkaan bahawa BoE akan meningkatkan kadar faedah pada 3 Februari ini.

GBP meningkat 0.2% kepada 0.8338 berbanding EUR, selepas merekodkan paras tertinggi sejak Februari 2020 pada paras 0.8334. Manakala berbanding matawang dolar AS (USD), GBP susut 0.1% untuk berdagang pada harga $1.358 setakat jam 5.03 GMT+8, hampir kepada paras tertinggi $1.3599 yang dicatatkan pada November 2021.

Rujukan: Reuters

You may also like