Emas Susut, Menghampiri Paras Rendah Tiga Minggu Dengan Pelabur Menantikan Data Inflasi

by Irfan Saleh

Harga emas jatuh pada sesi awal dagangan Asia, kekal menghampiri paras rendah tiga bulan selepas pelabur menghadam laporan pekerjaan (NFP) Amerika Syarikat (AS) yang terbaru serta kini mengalihkan tumpuan mereka terhadap data inflasi AS.

Niaga hadapan emas susut 0.35% kepada $1,791.05 pada jam 11.51am GMT+8, tidak jauh daripada paras rendah $1,782.10 yang dicatatkan pada hari Jumaat, paras terendah sejak 16 Disember.

Minggu lalu, hasil Perbendaharaan AS melonjak susulan pendirian ‘hawkish’ Federal Reserve dalam minit mesyuarat Disember 2021.

Laporan NFP untuk bulan Disember yang diterbitkan Jumaat baru-baru ini, menunjukkan bahawa data pekerjaan adalah lebih rendah daripada jangkaan dengan angka 199,000, manakala kadar pengangguran berada pada 3.9%, lebih rendah daripada jangkaan.

Pelabur kini menantikan data inflasi yang dijadualkan terbit jam 9.30pm hari Rabu ini.

Niaga hadapan dana Fed menganggarkan kemungkinan menghampiri 90% bahawa Fed akan menaikkan kadar faedah pada bulan Mac tahun ini serta lebih 90% jangkaan bahawa kadar faedah akan dinaikkan sekali lagi pada bulan Jun.

Buat masa ini, para pelabur menantikan komen-komen daripada pegawai Fed sepanjang minggu ini termasuklah daripada Presiden Fed Atlanta Raphael Bostic, Presiden Fed Kansas City Esther George, Presiden Fed St. Louis James Bullard, Presiden Fed Richmond Thomas Barkin, Presiden Fed Philadelphia Patrick Harker, Presiden Fed Chicago Charles Evans, dan Presiden Fed New York John Williams.

Rujukan:
Investing.com

You may also like