AS Membekukan Hampir AS$9.5 Bilion Aset Bank Pusat Afghanistan

by Irfan Saleh

Amerika Syarikat telah membekukan hampir AS$9.5 bilion aset yang dimiliki oleh bank pusat Afghanistan serta menghentikan penghantaran tunai kepada negara itu dalam satu usaha untuk mengekang kerajaan yang diketuai Taliban daripada mengakses wang tersebut, menurut seorang pegawai pentadbiran pada hari Selasa.

Pegawai tersebut menyatakan bahawa sebarang aset bank pusat Afghanistan yang dimiliki di AS tidak akan disediakan kepada Taliban, yang kekal dalam senarai sekatan Jabatan Perbendaharaan AS.

Ajmal Ahmady, pemangku ketua Da Afghan Bank (DAB), bank pusat Afghanistan, pada hari Isnin telah membuat satu tweet bahawa beliau mendapat tahu bahawa penghantaran dolar AS ke negara itu akan dihentikan sebagai salah satu usaha AS untuk menghalang Taliban daripada mengakses duit tersebut. DAB mempunyai aset bernilai AS$9.5 bilion, sebahagian besarnya berada dalam akaun Federal Reserve (Fed) New York dan institusi kewangan yang berpusat di AS.

Sekatan AS terhadap Taliban bermakna mereka tidak boleh mengakses dana tersebut. Majoriti aset DAB ketika ini tidak berada di Afghanistan, menurut dua sumber.

Jabatan Perbendaharaan AS pula enggan mengulas mengenai perkara tersebut.

[Bloomberg]

You may also like