BNM Beri Amaran Terhadap ‘Peningkatan Ketidaktentuan Ringgit’

by Irfan Saleh

Bank Negara Malaysia (BNM) memberi amaran bahawa ringgit Malaysia (MYR) dijangka untuk terus berhadapan situasi tidak menentu rentetan COVID-19 yang membayangi pemulihan ekonomi domestik dan global dikala para pelabur menjangkakan kadar normalisasi dasar monetari di Amerika Syarikat yang lebih cepat.

Dalam satu kenyataan di laman sesawang bank pusat itu, BNM berkata antara 1 Julai 2021 sehingga Isnin lalu (9 Ogos), ringgit telah menyusut 1.7% berbanding Dolar AS (USD).

“Pengukuhan ringgit sebanyak 0.1% berbanding Dolar AS pada suku kedua 2021 sebahagian besarnya dipacu oleh kelemahan USD sewaktu awal suku tersebut ekoran kejatuhan dalam pulangan sebenar bon Perbendaharaan AS, yang menyebabkan para pelabur beralih kepada aset dengan pulangan yang lebih tinggi.”

“Namun, jangkaan kadar yang lebih pantas untuk normalisasi dasar monetari selepas mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan (FOMC) pada bulan Jun membawa kepada pengimbangan portfolio pelabur terhadap aset dalam USD pada akhir suku itu,” kata BNM.

Setakat jam 11.19 pagi, ringgit telah melemah kepada 4.2402 dolar AS. Dalam tempoh setahun, kadar pertukaran MYR kepada USD adalah sekitar 3.9957 and 4.2440.

Ringgit juga melemah berbanding matawang lain seperti dolar Singapura (SGD), dengan MYR berdagang pada paras harga 3.1260 berbanding matawang itu setakat jam 11.20 pagi. Berbanding dolar Australia (AUD) pula, MYR melemah ke paras harga 3.1131.

Ahli ekonomi Kenanga Investment Bank Bhd dalam satu nota hari ini menulis bahawa ringgit “kekal dalam tekanan berikutan ketidaktentuan politik dan kebimbangan COVID-19.”

[The Edge Markets]

You may also like