Ekonomi UK Mencatatkan Pertumbuhan Lebih Pantas pada Bulan Jun Dengan Pelonggaran Sekatan

by Irfan Saleh

Ekonomi United Kingdom (UK) berkembang lebih daripada jangkaan pada bulan Jun selepas sekatan coronavirus yang lebih longgar memacu pemulihan dalam perkhidmatan dominan negara itu.

Keluaran dalam negara kasar (KDNK) meningkat 1%, lebih daripada jangkaan 0.8% daripada ahli ekonomi, menurut Jabatan Perangkaan Negara pada hari Khamis. Perkara tersebut menjadikan pertumbuhan suku kedua pada kadar 4.8%, hampir dengan ramalan 5% oleh Bank of England (BoE) pada minggu lalu.

Pemulihan yang pantas daripada kemelesetan terburuk dalam tempoh tiga abad telah membantu ekonomi untuk sekadar 2.2% lebih kecil berbanding sebelum bermulanya sekatan coronavirus. Kadar yang pantas itu dilihat bakal perlahan selepas meredanya kegembiraan pasca sekatan dan meningkatnya kes. BoE menjangkakan keluaran yang hilang untuk pulih menjelang akhir tahun ini.

“Angka pada hari ini menunjukkan ekonomi semakin bertambah baik,” kata Menteri Kewangan Rishi Sunak. “Saya tahu masih banyak cabaran yang perlu diatasi, namun saya yakin dengan kekuatan ekonomi UK.”

Ahli statistik berkata perkhidmatan kesihatan dan pemulihan dalam industri hospitaliti adalah pemacu utama pertumbuhan untuk bulan Jun.

Jumlah eksport barangan, tidak termasuk logam berharga, susut 2.2% pada bulan Jun, didorong oleh penurunan 5.6% eksport kepada negara bukan EU, sebahagian besarnya disebabkan kejatuhan dalam perubatan dan produk farmaseutikal serta kereta.

[Bloomberg]

You may also like