Singapura Menaik Taraf Anggaran KDNK 2021; Menjangkakan Pertumbuhan 6%-7%

by Irfan Saleh

Ekonomi Singapura diramal akan mencatatkan pertumbuhan yang lebih pantas daripada jangkaan kerajaan sebelum ini selepas kejayaan mengawal penularan coronavirus dengan negara itu dilihat akan membuka lebih banyak sektor ekonomi sehingga akhir tahun ini.

Singapura menaik taraf ramalan pertumbuhan ekonomi tahunan kepada 6%-7%, menurut Kementerian Perdagangan & Industri pada hari Rabu selepas melaporkan data akhir suku kedua. Bulan lalu, kementerian tersebut meramalkan pertumbuhan ekonomi tahunan pada kadar 4%-6%.

Dalam tinjauan sembilan ahli ekonomi oleh Bloomberg, enam menjangkakan pertumbuhan melebihi 6%.

“Melainkan berlakunya sesuatu yang tidak diingini terhadap ekonomi global, Singapura dijangka akan terus melihat pemulihan beransur-ansur sewaktu separuh kedua tahun ini, sebahagian besarnya dipacu oleh sektor berorientasikan eksport dan perdagangan,” menurut kementerian dalam satu kenyataan.

“Pelonggaran berterusan dalam sekatan domestik dan sempadan berikutan kadar vaksinasi yang terus meningkat turut membantu dalam pemulihan ekonomi dan meredakan kekurangan tenaga kerja dalam sektor yang bergantung kepada pekerja migran.”

Susulan terbitnya data tersebut, dolar Singapura (SGD) kekal stabil pada harga 1.36 SGD per dolar setakat jam 8.37 pagi.

Seramai 70% populasi Singapura kini sudah pun divaksinasi. Sehubungan itu, Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata penduduk Singapura boleh “menantikan pembukaan berperingkat ekonomi negara.”

[Bloomberg]

You may also like