Harga Minyak Susut ke Paras Rendah Tiga Bulan Berikutan Kebimbangan Mengenai Varian Delta COVID-19

by Irfan Saleh

Harga minyak mentah susut ke paras rendah tiga minggu selepas kebangkitan varian delta COVID-19 mengancam tinjauan permintaan minyak mentah global.

Pasaran niaga hadapan jatuh ke paras bawah AS$66 setong di New York selepas menjunam hampir 8% pada minggu lalu. Peningkatan semula kes COVID-19 telah menyebabkan Goldman Sachs menurun taraf ramalan pertumbuhan ekonomi China, yang baru sahaja selesai melakukan program ujian secara besar-besaran di Wuhan berikutan terdapatnya kes baru coronavirus. Kes jangkitan turut meningkat di Amerika Syarikat dan Thailand.

“Minyak sedang berhadapan kehilangan momentum secara berterusan, dengan sentimen semakin terjejas,” kata Ole Hansen, ketua penyelidikan komoditi di Saxo Bank A/S. “Yang pasti, kebimbangan mengenai tinjauan permintaan jangka pendek dengan kerajaan bertindak balas terhadap varian delta telah memberi kesan kepada pasaran.”

Varian delta turut memberi impak kepada struktur pasaran minyak. Perkara ini dapat dilihat melalui perbezaan harga “backwardation” sebanyak AS$0.35 sen setong – satu petanda “bullish” di mana kontrak dengan tarikh yang lebih dekat adalah lebih mahal daripada kontrak dengan tarikh yang lebih lama. Seminggu lalu, perbezaan ini adalah sebanyak AS$0.69 sen.

Namun, kelemahan harga minyak berkemungkinan dapat dikekang dengan tindakan pakatan OPEC+ yang terus berusaha menstabilkan paras bekalan untuk mengelak berlakunya lebihan bekalan. Kumpulan tersebut secara beransur-ansur menambah pengeluaran yang telah dikurangkan sejak coronavirus mula melanda tahun lalu.

“Walaupun varian Delta terus merebak, pasaran masih lagi kekurangan bekalan berdasarkan anggaran kami, jadi kami percaya sebarang risiko penurunan adalah terhad untuk jangka pendek,” kata Helge Andre Martinsen, penganalisa kanan pasaran minyak di DNB Bank ASA.

[Bloomberg]

You may also like