Subsidiari Solarvest Memenangi Kontrak RM 66 Juta untuk Membangunkan LSSPV di Perak

by Irfan Saleh

Solarvest Holdings Bhd pada hari ini mengumumkan bahawa anak syarikatnya Atlantic Blue Sdn Bhd (ABSB) telah berjaya mendapatkan kontrak bernilai RM 66 juta daripada Grooveland Sdn Bhd sebagai kontraktor utama kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) untuk membangunkan loji janakuasa solar fotovoltaik berskala besar (LSSPV) di Perak.

Dalam satu pemfailan Bursa Malaysia hari ini, kumpulan tersebut menekankan bahawa Grooveland pada dasarnya adalah sebuah syarikat pemegang pelaburan dan projek itu akan berjalan apabila perjanjian EPCC dilaksanakan.

“Sementara menantikan pelaksanaan perjanjian EPCC, kedua-dua pihak (ABSB dan Grooveland) akan memuktamadkan reka bentuk projek yang akan dicerminkan dalam perjanjian EPCC,” kata Solarvest.

Kumpulan tersebut menjangkakan projek tersebut akan memberi sumbangan positif terhadap aset bersih dan keuntungan per saham Solarvest dan kumpulan syarikatnya untuk tahun kewangan yang berakhir pada 31 Mac 2022 dan seterusnya sehinggalah projek tersebut siap sepenuhnya.

Menurut laman sesawang kumpulan itu, Solarvest menyediakan EPCC, pengurusan, dan perkhidmatan operasi dan penyelenggaraan untuk projek solar di Malaysia.

Pada tengah hari ini, saham Solarvest didagangkan empat sen atau 2.84% lebih rendah pada RM 1.37, seterusnya memberi nilai sebanyak RM 862.52 juta untuk syarikat tersebut. Setakat tahun ini, saham syarikat itu telah mengukuh sebanyak 11.38%.

[The Edge Markets]

You may also like