Sektor Perkayuan Rugi RM 60 Juta Sehari Ekoran Pelaksanaan PPN – MPIC

by Irfan Saleh

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) menganggarkan sektor perkayuan negara kerugian RM 60 juta sehari sejak terhentinya operasi ekoran pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dua bulan lalu.

Menteri MPIC Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata angka tersebut hanyalah sekadar anggaran kasar tanpa mengambil kira kehilangan kontrak berikutan ketidakupayaan untuk membekalkan komoditi kepada pelanggan.

“Kesemua aktiviti terjejas ekoran PPN yang sedang dilaksanakan dan kita haruslah tabah bagi memastikan orang ramai tidak terus bergelut dengan wabak COVID-19 yang lebih teruk,” kata beliau kepada wartawan selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) di Olak Lempit di bawah Program Vaksinasi Untuk Sektor Agrikomoditi (VACOMS).

Mengenai VACOMS, beliau berkata seramai 10,000 pekerja industri kayu dan perabot di Selangor akan divaksinasikan di PPVIN, yang mana kebanyakannya adalah warga asing.

“Permintaan vaksiniasi adalah sangat tinggi kerana pada peringat permulaan, kami hanya menjangkakan sebanyak 8,000, namun permintaan telah pun mencecah 10,000, dan program ini akan berterusan sehingga September – untuk dos pertama sehingga pertengahan Ogos dan dos kedua yang akan berakhir pada 18 September 2021.

“Kami berharap kejayaaan program vaksinasi ini akan membolehkan sektor perkayuan untuk terus beroperasi semula bagi memastikan pendapatan negara tidak terjejas,” tambah beliau.

Mohd Khairuddin berkata permohonan untuk terlibat dalam VACOMS bagi syarikat di bawah sektor agrikomoditi boleh dilakukan melalui MPIC sekiranya syarikat tersebut mempunyai sekurang-kurangnya 1,000 pekerja atau bergabung dengan syarikat lain bagi memenuhi angka tersebut.

Untuk program tersebut, beliau berkata MTC akan memberikan subsidi RM30 untuk setiap pekerja yang terlibat.

[The Edge Markets]

You may also like