Binance Diarah Tutup oleh SC; Pelabur Diminta Mengeluarkan Kesemua Wang

by Irfan Saleh

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) pada hari Jumaat telah mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap platform mata wang kripto Binance kerana mengendalikan pertukaran aset digital (DAX) secara tidak sah dan meminta pelabur-pelabur Malaysia untuk berhenti mengguna dan melabur bersama Binance.

Dalam satu kenyataan pada hari Jumaat, SC berkata orang ramai yang mempunyai akaun bersama Binance digesa untuk berhenti berdagang secara serta merta menggunakan platformnya serta mengeluarkan kesemua duit pelaburan dengan segera.

SC menyatakan Binance mengendalikan DAX secara tidak sah walaupun telah dimasukkan ke dalam senarai amaran pelabur SC pada Julai 2020.

Selain itu, Reuters melaporkan Binance akan mengurangkan tawaran niaga hadapan dan derivatifnya di Eropah, satu langkah yang dilakukan susulan tekanan daripada badan-badan regulator di seluruh dunia.

Pengguna Binance di Jerman, Itali dan Belanda tidak lagi boleh membuka sebarang akaun produk niaga hadapan atau derivatif yang baru, menurut Binance dalam satu kenyataan di laman sesawangnya.

Dalam kenyataan SC pada hari ini, badan regulator tersebut menyatakan bahawa kesemua pengendali DAX mestilah didaftar sebagai pengendali pasaran yang diiktiraf (RMO) oleh SC di bawah Seksyen 7(1) dan 34(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.

SC turut mengeluarkan teguran awam terhadap Binance Holdings Ltd, yang didaftarkan di Cayman Islands, CEO Zhao ChangPeng serta tiga lagi entiti Binance yang lain.

Tiga entiti tersebut adalah Binance Digital Ltd (didaftarkan di United Kingdom), Binance UAB (didaftarkan di Lithuania) dan Binance Asia Services Pte Ltd (didaftar di Singapura).

Keempat-empat entiti Binance itu diarahkan untuk:

  1. Nyahdayakan laman sesawang (www.binance.com) dan aplikasi mudah alih di Malaysia dalam tempoh 14 hari perniagaan dari 26 Julai 2021;
  2. Menghentikan kesemua aktiviti media dan pemasaran termasuklah mengedarkan, menerbitkan atau menghantar sebarang iklan dan/atau bahan pemasaran, sama ada melalui emel atau apa cara sekalipun kepada pelabur Malaysia secara serta merta;
  3. Menyekat pelabur Malaysia daripada mengakses group Telegram Binance secara serta merta.

Zhao secara spesifik diarahkan SC untuk memastikan kesemua arahan tersebut dijalankan.

Kepada pengguna Binance, nampaknya alternatif lain perlu dicari dalam berdagang aset-aset digital di Malaysia.

[The Star]

You may also like