Bitcoin Melonjak Menghampiri AS$40,000 Susulan Rancangan Kripto oleh Amazon

by Irfan Saleh

Bitcoin melonjak menghampiri AS$40,000 selepas iklan pekerjaan berasaskan kripto oleh Amazon.com Inc. telah menghangatkan spekulasi mengenai penglibatan syarikat tersebut dalam industri mata wang digital.

Iklan pekerjaan tersebut, yang pertama kali dilaporkan oleh CoinDesk pada minggu lalu, menyatakan bahawa Amazon sedang mencari seorang eksekutif untuk membangunkan “strategi blockchain dan mata wang digital” syarikat berkenaan. Penganalisa juga tertanya-tanya adakah langkah tersebut akan membawa kepada Amazon menerima Bitcoin sebagai satu bentuk bayaran.

Bitcoin mengukuh 11% kepada AS$38,302 setakat jam 11.07 pagi waktu London, dan sebelum itu telah beberapa kali berada sekitar ratusan dolar daripada mencecah paras AS$40,000. Ether dan mata wang digital lain turut mencatatkan kenaikan.

Lonjakan harga kripto pada hari Isnin menghembuskan nafas baru kepada pasaran kripto yang berada dalam keadaan tidak aktif untuk tempoh berbulan-bulan. Tidak banyak pergerakan yang ditunjukkan Bitcoin sejak pertengahan Mei dan keghairahan terhadap aset digital itu juga semakin berkurang rentetan daripada tindakan keras China dan juga kritikan terhadap kesannya kepada alam sekitar.

Sesetengah penganalisa juga berkata pembelian kripto bagi menggantikan posisi jualan turut mempengaruhi kenaikan harga. Lebih daripada AS$940 juta jualan kripto telah dicairkan pada hari Isnin, terbanyak sejak 19 Mei, menurut data daripada Bybt.com.

[Bloomberg]

You may also like