Dolar AS Mencecah Paras Tinggi Baru Satu Tahun Berbanding Yen Susulan Keyakinan Pemulihan Ekonomi AS

by Irfan Saleh

Dolar AS (USD) meningkat ke paras tinggi baru satu tahun berbanding Yen Jepun (JPY) dan berdagang menghampiri paras tertinggi dalam tempoh masa berbulan-bulan dengan matawang utama lain selepas pelabur meramalkan rangsangan fiskal yang berskala besar serta vaksinasi yang agresif akan membantu Amerika Syarikat mengetuai pemulihan pandemik di peringkat global.

Presiden AS Joe Biden juga bakal memberi keterangan lewat Rabu mengenai bagaimana beliau bercadang membayar perancangan infrastruktur bernilai $3-$4 trillion, selepas turut menyatakan bahawa 90% daripada orang dewasa di Amerika akan layak divaksinasi menjelang 19 April.

Indeks dolar kekal di bawah paras 93 selepas melonjak setinggi 93.357 pada hari Selasa. Ia telah mendaki dari paras berhampiran 90 pada permulaan Mac, kini dalam haluan mencatatkan bulan terbaik sejak 2016.

USD telah merekodkan paras tinggi terbaru berbanding JPY pada paras 110.48 sewaktu sesi awal dagangan Asia hari Rabu, dan berlegar menghampiri paras tinggi 5 bulan $1.1711 berbanding Euro yang dicatatkan pada hari Selasa.

“Prestasi ekonomi AS yang sangat baik dilihat akan membantu menyokong USD dalam jangka pendek,” tulis ahli strategi Commonwealth Bank of Australia Carol Kong dalam satu nota.

“JPY akan didorong oleh trend USD yang mengukuh secara umum, berkemungkinan meningkat sehingga 113 menjelang akhir tahun ini,” menurut beliau.

Dolar juga turut disokong oleh lonjakan dalam pulangan bon AS, yang menjadikan matawang itu lebih menarik sebagai satu pelaburan.

Pulangan untuk bon penanda aras 10-tahun Perbendaharaan meningkat ke paras tinggi satu tahun setinggi 1.776% pada hari Selasa.

Data pekerjaan (NFP) AS akan diperhatikan para pelabur pada hari Jumaat, dengan penggubal dasar Federal Reserve (Fed) setakat ini memberi alasan pasaran buruh yang terjejas sebagai sebab pendirian pelaksanaan kadar faedah yang rendah untuk satu tempoh yang lama. Pendekatan tersebut telah berjaya mempertingkatkan tinjauan pertumbuhan namun turut meningkatkan kebimbangan inflasi.

Data semalaman menunjukkan keyakinan pengguna AS pada bulan ini melonjak ke paras tertinggi sejak permulaan pandemik, menyokong pandangan bahawa pertumbuhan ekonomi akan menjadi laju dalam bulan mendatang, didorong oleh lebih banyak rangsangan fiskal serta situasi kesihatan awam yang semakin bertambah baik.

Rujukan:
1) Reuters

You may also like