Dolar AS Meneruskan Pendakian ke Paras Tinggi Empat Bulan berbanding Euro Dengan Kedua-dua Matawang Dalam Trajektori Berbeza

by Irfan Saleh

Dolar AS (USD) mencecah paras tinggi empat bulan berbanding Euro (EUR) pada hari Khamis selepas usaha pandemik Amerika Syarikat terus mengatasi Eropah, yang terjejas ekoran lanjutan sekatan pergerakan dan pengagihan vaksin yang perlahan.

Dolar yang bersifat “safe-haven” kekal kukuh secara meluas susulan “rally” dua hari dikala berlakunya kebimbangan wabak ketiga Covid-19 Eropah dan kemungkinan peningkatan cukai AS bagi mengekang inflasi.

Tindakan Jerman yang menarik semula pelaksanaan perintah berkurung sewaktu Easter juga tidak memberikan sebarang impak positif terhadap tinjauan ekonomi Eropah, malah hanya menambah ketidakpuasan hati terhadap pengurusan kerajaan Canselor Angela Merkel dalam menangani pandemik.

“Titik lemah di Eropah kekal berkisarkan pengagihan vaksin yang perlahan selain daripada peningkatan kes dan perintah berkurung yang semakin ketat. Hal ini bermakna pemulihan ekonomi pada suku ke-2 mungkin akan ditangguh kepada suku ke-3,” tulis Tapas Strickland, pengarah pasaran dan ekonomi di National Australia Bank, dalam satu nota.

“Naratif AS mencatatkan prestasi lebih baik berbanding Eropah pada suku tahun akan datang masih kekal.”

Euro berdagang menghampiri paras rendah empat bulan $1.1809 yang dicecah ketika sesi awal dagangan Asia, manakala pengukur bagi dolar AS (Indeks Dolar AS) berbanding enam matawang utama lain berlegar di bawah paras tinggi empat bulan iaitu 92.617.

USD mengukuh 0.1% kepada 108.835 yen Jepun (JPY), yang juga merupakan salah satu matawang “safe-haven.”

Dolar Australia (AUD), salah satu pilihan pelabur bagi aset berisiko, pulih 0.2% selepas merudum ke $0.7579, paras terendah sejak 2 Februari.

Semalam, Setiausaha Perbendaharaan AS Janet Yellen dan Presiden Federal Reserve (Fed) Jerome Powell menzahirkan keyakinan mereka mengenai pemulihan ekonomi AS.

Yellen memberi kenyataan bahawa beliau terbuka sekiranya bank mahu membeli semula saham dan membayar dividen, satu pandangan yang menunjukkan keyakinannya dalam ekonomi. Powell juga turut berkata 2021 “akan menjadi satu tahun yang sangat, sangat kuat.”

Sementara itu di Eropah, peningkatan mengejut dalam aktiviti perniagaan tidak mampu untuk mencerikan keadaan, dengan perintah berkurung Covid-19 yang diperbaharui di kebanyakan negara ahli blok bermakna peningkatan itu dilihat tidak akan kekal sehingga April.

Kebimbangan menjadi lebih teruk rentetan gelombang ketiga jangkitan yang dipacu oleh coronavirus varian U.K., menurut ahli strategi Commonwealth Bank of Australia.

Rujukan:
1) Reuters

You may also like