Saham, Dolar AS Menyambut Baik Rangsangan Ekonomi AS; Minyak Berada Pada Paras Tinggi 1 Tahun

by Irfan Saleh

Saham-saham Asia “rally” pada hari Isnin manakala dolar AS (USD) berlegar pada paras tinggi tiga bulan selepas Senat Amerika Syarikat meluluskan RUU rangsangan ekonomi bernilai $1.9 trillion serta data pekerjaan (NFP) yang kuat memberi petanda baik mengenai pemulihan ekonomi global.

Di Asia, terdapat berita yang menggembirakan apabila eksport China melonjak 155% pada bulan Februari berbanding setahun yang lalu apabila ekonomi ditutup bagi mengekang penularan pandemik.

Penganalisis Bank of Amerika (BofA) Athanasios Vamvakidis berkata campuran rangsangan ekonomi AS, pembukaan semula ekonomi yang lebih pantas serta kuasa perbelanjaan konsumer memberi impak positif bagi USD.

Prospek pertumbuhan ekonomi yang lebih pantas membantu Indeks MSCI Asia-Pasifik di luar Jepun meningkat 0.4%, Nikkei Jepun mengukuh 1.2% manakala S&P 500 meningkat 0.3%.

Pelabur ekuiti turut gembira dengan data pekerjaan AS yang melonjak sebanyak 379,000 pekerjaan pada bulan lalu, manakala kadar pengangguran berkurang kepada 6.2%, satu petanda positif bagi gaji, perbelanjaan dan pendapatan korporat.

Setiausaha Perbendaharaan AS Janet Yellen cuba untuk menangani kebimbangan inflasi dengan menyatakan bahawa kadar pengangguran sebenar adalah sekitar 10% dan masih terdapat banyak penambahbaikan yang perlu dilakukan dalam pasaran buruh.

Namun pulangan perbendaharaan 10 tahun AS masih lagi mencecah paras tinggi satu tahun iaitu 1.625% selepas keluarnya data NFP, dan berada pada paras 1.60% pada hari Isnin. Pulangan meningkat sebanyak 16 mata asas untuk minggu lalu, manakala pulangan perbendaharaan bagi Jerman susut 4 mata asas.

Khamis ini European Central Bank (ECB) dijadualkan bertemu dikala terdapatnya ura-ura ia akan memprotes peningkatan terbaru dalam pulangan perbendaharaan zon euro dan berkemungkinan membincangkan cara-cara untuk mengekang peningkatan lanjut.

Perbezaan dalam trajektori pulangan perbendaharaan AS dan Eropah telah mengukuhkan dolar AS berbanding euro, yang susut kepada paras rendah tiga bulan iaitu $1.1892, dan terkini berdagang pada sekitar $1.1920.

USD turut mengukuh berbanding yen, mencecah paras tertinggi sembilan bulan iaitu 108.63, dan terkini berdagang sekitar 108.40.

Harga minyak pula meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh lebih setahun selepas tentera Houthi Yemen melancarkan dron dan peluru berpandu ke industri minyak Arab Saudi pada hari Ahad, seterusnya mencetuskan kebimbangan mengenai pengeluaran minyak mentah.

Sebelum itu, harga sudah pun didorong oleh keputusan OPEC dan sekutu untuk tidak meningkatkan bekalan pada bulan April.

Rentetan itu, Brent mengukuh $1.09 kepada $70.49 setong manakala WTI meningkat $1.08 kepada $67.17 setong.

Rujukan:
1) Reuters

You may also like