Pound Terus Melonjak Berbanding Euro, Terlama Sejak 2015

by Irfan Saleh

“Rally” matawang Pound Sterling yang dipacu vaksin berbanding Euro tidak menampakkan sebarang petanda ia akan berhenti.

Pound meneruskan rentak pengukuhan terpanjang dalam tempoh lima tahun setengah selepas suratkhabar The Telegraph melaporkan United Kingdom mungkin akan mengakhiri perintah berkurung lebih awal daripada sepatutnya jika data kesan vaksin terbukti lebih baik daripada jangkaan. Euro susut sehingga 0.8% kepada 0.8541 GBP, jatuh buat hari ke-9 berturut-turut, rentetan keyakinan bahawa Britain akan pulih lebih pantas daripada negara Eropah yang lain.

EUR/GBP berdagang sekitar 0.86000 ketika ini.

Lebih 27 dos vaksin untuk setiap 100 orang telah diberikan oleh U.K. kepada penduduknya, menurut penjejak Bloomberg. Kadar itu jauh mengatasi 6 dos untuk Kesatuan Eropah (EU) dan telah membantu GBP untuk menjadi matawang G-10 terbaik berbanding euro pada tahun ini. BofA Global Research pada bulan ini telah menyemak semula sasaran akhir tahun untuk pasangan EUR/GBP kepada 0.88, berbanding 0.94 sebelum ini. Bank Danske pula melihat pasangan matawang itu berdagang pada 0.85 pada separuh kedua tahun ini.

“Pemacu utama adalah kadar vaksinasi U.K. yang pantas akan membolehkan negara itu membuka semula ekonominya berbanding negara-negara Eropah yang lain,” kata Lee Hardman, ahli strategi pasaran matawang asing di MUFB Bank. “Saya melihat senario untuk pound terus mengukuh dalam jangka pendek kekal menarik.”

Namun EU mungkin merapatkan jurang. Menurut firma penyelidikan Airfinity Ltd., EU berkemungkinan akan memvaksinasikan 75% populasi dewasanya menjelang akhir Ogos, sekitar dua bulan lebih awal daripada ramalan awal.

Rujukan:
1) Investing.com

You may also like