Dolar AS Mengukuh, Dipacu oleh Kemungkinan Rangsangan Ekonomi dan Hasil Perbendaharaan yang Tinggi

by Irfan Saleh

Dolar AS (USD) mengukuh sewaktu sesi dagangan Asia pada hari Selasa, mencatatkan peningkatan buat hari keempat berturut-turut berbanding matawang utama yang lain selepas kemungkinan rangsangan ekonomi Amerika Syarikat yang besar memacu hasil perbendaharaan untuk meningkat.

Bakal Presiden AS Joe Biden, yang secara rasminya akan mengambil alih tampuk kepimpinan pada 20 Januari ini, telah menjanjikan “trillion” dalam rangsangan tambahan Covid-19.

Indeks Dolar AS yang menjejaki matawang USD dengan matawang-matawang utama lain, meningkat 0.16% kepada 90.588 pada jam 12.37 PM waktu Malaysia. Indeks tersebut telah mencatatkan pemulihan daripada paras rendah hampir tiga tahun yang dilihat minggu lalu, dengan hasil bon 10 tahun melepasi 1% sejak Mac, meningkat sehingga setinggi 1.148%.

Namun, sesetengah pelabur menjangkakan dolar akan terus meneruskan penyusutan selepas rangsangan tambahan dan vaksinasi Covid-19 memulakan pemulihan ekonomi global dan menambah baik sentimen risiko pelabur.

Bagi USD/JPY, pasangan matawang itu meningkat 0.06% kepada 104.31. AUD/USD pula menyusut 0.07% kepada 0.7690, manakala NZD/USD mengukuh 0.01% kepada 0.7161.

Euro dilihat agak stabil pada $1.2151, manakala GBP/USD mengukuh 0.01% kepada 1.3516.

Sementara itu, matawang digital Bitcoin berdagang di bawah paras $35,000, satu petanda bahawa “rally” yang menyaksikan aset digital itu mencecah $42,000 pada 8 Januari sudh berakhir. Harga Bitcoin susut sehingga sebanyak 20% pada hari Isnin sehinggakan Financial Conduct Authority (FCA) pada hari Isnin mengeluarkan satu kenyataan bahawa konsumer perlu “bersedia untuk hilang kesemua wang mereka.”

Rujukan:
1) Investing.com

You may also like