Dolar AS Dijangka Terus Menyusut Ekoran Pemulihan Global, Defisit Berkembar AS

by Irfan Saleh

Dolar AS (USD) bakal mengakhiri tahun 2020 dengan penuh hambar pada hari Khamis dengan para pelabur meramalkan pemulihan ekonomi global akan menyebabkan wang-wang beralih kepada aset yang lebih berisiko.

Euro terus mengukuh kepada paras $1.2305, setelah mencapai paras tertinggi sejak April 2018 dan mencatatkan peningkatan hampir 10% pada tahun ini. Paras seterusnya dalam pendakian euro adalah $1.2413 dan $1.2476, sebelum menuju ke paras tertinggi 2018 iaitu $1.2555.

USD juga menyusut kepada 103.16 yen, namun berhenti sebelum mencecah paras rendah Disember iaitu 102.86.

Pound Sterling (GBP) pula melonjak sehingga $1.3641 — paras harga yang kali terakhir dilihat pada Mei 2018 — selepas penggubal dasar meluluskan perjanjian pasca Brexit dengan Kesatuan Eropah (EU).

Bagi Indeks Dolar yang menjejaki USD dengan beberapa matawang utama lain, indeks tersebut telah menyusut kepada 89.553. Paras tersebut menunjukkan ia telah susut sekitar 7.2% pada tahun ini, dan kurang 13% daripada paras tinggi 102.99 yang dicapai ketika pertengahan Mac tahun ini.

Sasaran seterusnya dalam penurunan Indeks Dolar adalah 89.277 dan kemudiannya 88.251, paras terendah yang dicecah pada tahun 2018.

Prospek ekonomi yang cerah pada tahun 2021 telah mengurangkan keperluan terhadap USD yang bersifat “safe-haven,” sambil meningkatkan daya tarikan terhadap aset berisiko lebih-lebih lagi pada pasaran baru muncul (emerging markets).

Mereka yang meramalkan pergerakan “bearish” bagi Dolar AS juga telah menghidupkan semula alasan “defisit berkembar” bagi USD – bahawa lonjakan dalam belanjawan dan defisit dagangan bermakna lebih banyak dolar yang dicetak dan digerakkan ke luar negara.

Daripada perspektif ini, ini bermakna RUU rangsangan ekonomi baru Amerika Syarikat adalah negatif terhadap dolar disebabkan ia menambah hutang negara, dan bakal Presiden Joe Biden menjanjikan lebih banyak rangsangan pada tahun hadapan.

AS juga banyak menggunakan dolar terhadap akaun dagangannya di mana defisit barangan mencecah rekod $84.8 billion pada bulan November selepas import melonjak melepasi paras pra-pandemik.

Bagi defisit akaun semasa, ia telah meningkat kepada paras tertinggi 12 tahun pada suku ke-3 2020 dan terdapat kekurangan yang besar dalam transaksi kewangan bersih berikutan warga Amerika meminjam lebih banyak dari luar negara.

“Kebergantungan AS terhadap simpanan asing yang semakin meningkat dan pada 3.4%, ia semakin menghampiri satu zon bahaya di mana ia akan menjadi semakin sukar untuk menarik simpanan tanpa terus melemahkan dolar, atau kadar faedah yang lebih tinggi,” menurut Alan Ruskin, ketua global G10 FX di Deutsche.

“Kemerosotan dalam ‘defisit berkembar’ juga tidak membantu sentimen USD ketika ini.

Rujukan:
1) Investing.com

You may also like