Perjanjian Dagangan Pasca Brexit Menggunakan Model Kanada / Australia. Apa Maksudnya?

by Irfan Saleh

Dengan tarikh akhir tempoh peralihan Brexit bagi United Kingdom semakin pantas menghampiri pada 31 Disember, Perdana Menteri Boris Johnson telah memberitahu Kesatuan Eropah (EU) bahawa UK berniat untuk meninggalkan blok tersebut dengan perjanjian seperti yang pernah dilakukan oleh Kanada atau Australia.

Berikutan kurangnya perkembangan dalam perjanjian Brexit sewaktu sidang kemuncak pemimpin-pemimpin EU pada 15 Oktober, beliau menyimpulkan bahawa perjanjian dengan model Kanada bukanlah satu kemungkinan dan berkata UK perlu bersedia dengan perjanjian ala Australia – berdasarkan prinsip mudah perdagangan bebas global.

Artikel ini akan merungkaikan apakah yang dimaksudkan dengan perjanjian model Kanada atau Australia bagi UK.

Australia

Johnson berkata jika perjanjian perdagangan bebas tidak mampu dicapai menjelang akhir 2020, beliau bersedia untuk mengambil perjanjian yang lebih longgar seperti yang pernah dilakukan Australia. Ia sebenarnya adalah satu penjenamaan semula “no-deal” Brexit, yang bermaksud UK akan meninggalkan EU tanpa sebarang perjanjian pasca Brexit. Perjanjian sebegini akan melibatkan melakukan perniagaan menggunakan terma World Trade Organization (WTO) dalam kebanyakan hal.

  • KELEBIHAN: Rangka Kerja Perkongsian EU-Australia 2008 menetapkan satu objektif dasar bersama berkaitan perdagangan dan pelaburan. Ia memupuk kerjasama dalam sektor seperti pelaburan, pensijilan pemakanan, penerbangan, pengurusan sempadan dan penguatkuasaan undang-undang. Perjanjian tersebut tidak mengikat Australia kepada peraturan EU ataupun peraturan imigresen, dan Australia tidak perlu membuat sebarang sumbangan kewangan kepada belanjawan EU.

  • KEKURANGAN: Australia bukanlah ahli kesatuan kastam atau pasaran tunggal Eropah. Ini bermakna, pengeksport Australia akan dikenakan tarif dan kuota EU serta pemberi perkhidmatan Australia tidak mempunyai akses keutamaan di Eropah. Tambahan pula, bank-bank Australia tidak mempunyai hak pasport untuk beroperasi di Eropah. EU dan Australia kini sedang berunding satu perjanjian dagangan bebas baru yang lebih inklusif bagi membantu mempertingkat akses pasaran, perdagangan merentas sempadan dan pelaburan.

Kanada

Perjanjian EU dengan Kanada kerap disebut sewaktu kempen Brexit dan muncul sebagai model pilihan Johnson. Model Kanada popular dengan UK kerana ia membenarkan perdagangan bebas tanpa memerlukan UK untuk terus berada dalam pasaran tunggal EU, sekaligus tidak lagi memerlukan peraturan yang sekata.

Pada tahun 2016, EU menggelarkan perjanjian dagangan bebas tersebut, dikenali sebagai Perjanjian Ekonomi dan Perdagangan Komprehensif (CETA), sebagai “perjanjian dagangan yang paling gah pernah dilakukan EU.” Apabila ia dikuatkuasakan pada tahun berikutnya, perjanjian tersebut menghapuskan 98% tarif barangan, dan akan menghapuskan sehingga 99% tarif selepas tujuh tahun.

  • KELEBIHAN: Perjanjian tersebut menghapuskan tarif bagi hampir kesemua barangan, memberikan lebih banyak akses kepada pemberi perkhidmatan, dan mengurangkan kos dengan mensistematikkan standard dan peraturan EU-Kanada. EU menganggarkan perjanjian tersebut akan meningkatkan perdagangan dua hala antara Kanada dan EU sekitar 12 billion euro ($14.1 billion) setiap tahun.
  • Melalui perjanjian sedemikian rupa, Britain akan berhenti membayar sumbangan kewangan yang diwajibkan kepada belanjawan EU dan UK akan mendapat kembali kawalan peraturan imigresen dan peraturan dalaman yang lain.

  • KEKURANGAN: Perdagangan bebas seperti CETA akan mewakili satu penurunan daripada hubungan perdagangan UK bersama EU sebelum ini disebabkan ia akan menghasilkan halangan dalam perdagangan dan peraturan yang tidak pernah wujud untuk berdekad lamanya.
  • Ia juga tidak banyak membantu industri perkhidmatan kewangan – berkemungkinan besar akan meninggalkan operasi Britain di EU ditadbir berdasarkan peraturan “kesetaraan” yang masih dalam penilaian. Ini mungkin membolehkan bank untuk melakukan perniagaan merentasi sempadan.

Rujukan:
1) Bloomberg

You may also like