RMB, CNH, CNY & Yuan? China Ada 4 Matawang?

by Irfan Saleh

Tanah besar China (Mainland China) pada waktu ini adalah merupakan negara dengan ekonomi ke-2 terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat. Cuma China ini pelik sedikit dari segi matawangnya. Seperti tajuk artikel di atas, China mempunyai empat singkatan matawang, adakah ini bermakna China mempunyai empat matawang?

Baca juga: 10 Ekonomi Terbesar Di Dunia Berdasarkan GDP.

Jika dibandingkan dengan Malaysia, kita hanya mempunyai Ringgit Malaysia atau lebih dikenali sebagai MYR. Mudah dan jelas.

Di China, nama rasmi matawangnya adalah Renminbi atau RMB. Yang membawa maksud “matawang rakyat” dalam mandarin.

Nota: Tanah besar China adalah istilah geopolitik bagi China di bawah pentadbiran Republik Rakyat China (PRC).

Renminbi inilah yang mempunyai beberapa nama dengan tujuan yang berbeza.

Sekiranya anda pernah ke China, anda juga pasti sedia maklum dengan Yuan (¥). Itulah nama di mana rakyat China memanggil matawang mereka. Secara teknikal, walaupun Renminbi dan Yuan sering digunakan secara silih berganti, Yuan adalah satu unit daripada Renminbi. Bagi memahami perkara ini dengan lebih mudah, cuba fikirkan matawang Pound Sterling (GBP). Pound Sterling adalah nama rasmi matawang United Kingdom, yang mana sering dirujuk dengan nama Pound ataupun Sterling.

Jadi apa pula CNY dan CNH ini? Haa, kedua-dua terma ini tidaklah digunakan sekerap Renminbi atau Yuan, dan anda mungkin terfikir adakah ia juga merupakan nama lain bagi matawang yang sama?

Memahami ciri dan perbezaan CNY dan CNH adalah kunci dalam memahami dasar matawang asing China dan peranannya dalam perdagangan antarabangsa.

Apa itu CNY dan CNH?

Tidak lama dahulu, Renminbi (RMB) tidak boleh didagangkan di luar Tanah besar China. Dalam satu usaha untuk mengantarabangsakan matawangnya, China melancarkan versi “offshore” Renminbi yang dipanggil CNH. Jadi, walaupun pasaran luar menggelarkan Renminbi sebagai CNH, pasaran dalam negara menggelarkan Renminbi sebagai CNY.

Disebabkan Tanah besar China masih tidak dibuka sepenuhnya dalam pasaran pertukaran asing dan pasaran modal antarabangsa, kedua-dua jenis Renminbi masih digunapakai sehingga hari ini:

  • CNY adalah matawang RMB yang didagangkan di Tanah besar China sahaja.
  • CNH pula adalah RMB yang didagangkan di luar Tanah besar China.

Sebagai kesimpulan, kedua-dua CNY dan CNH adalah sejenis RMB, ini bermakna 1 CNY = 1 RMB = 1 Yuan and 1 CNH = 1 RMB = 1 Yuan. Namun, mereka tidak semestinya didagangkan pada harga yang sama berbanding matawang lain. Mengapa? Teruskan membaca.

Asal-usul pasaran luar RMB

Sehingga tahun 2009, penyelesaian RMB tidak dibenar dilakukan di luar Tanah besar China. Tahun itu, buat kali pertama dalam sejarah, pihak berkuasa telah menghapuskan had penyelesaian dagangan RMB antara China dan Hong Kong.

Itu adalah langkah pertama dalam mengantarabangsakan Renminbi. Ia ditandai dengan penciptaan CNH, versi “offshore” Renminbi, di mana “H” itu sebenarnya bermaksud Hong Kong.

Semenjak itu, lebih banyak sekatan telah dikurangkan secara berperingkat oleh pihak berkuasa China. Perkara ini kemudiannya membawa kepada perkembangan lebih 30 pasaran “offshore” RMB di seluruh dunia, dengan yang paling aktif adalah di Hong Kong.

Apa kadar CNY?

Nilai CNY diurus dan dikawal dengan ketat oleh kerajaan China. Bank pusat China (People’s Bank of China – PBOC) mengeluarkan kadar rujukan setiap pagi untuk CNY yang digunakan dalam pasaran dagangan dalam China. Dagangan yang dibuat haruslah dibuat dalam lingkungan 2% daripada nilai rujukan ini.

Pentadbiran Pertukaran Asing Negara (SAFE) adalah regulator sekunder yang turut mampu memberi impak kepada kadar pertukaran CNY. PBOC dan SAFE adalah setaraf dengan Federal Reserve (Fed), iaitu bank pusat Amerika Syarikat.

Apa kadar CNH?

Berbeza dengan CNY, CNH tidak berdepan dengan sekatan kerajaan seperti yang berlaku kepada CNY. Ia bebas didagangkan di pasaran global, jadi nilainya naik turunnya adalah berdasarkan isipadu beli dan jual dalam pasaran pertukaran antarabangsa.

Perbezaan antara CNY dan CNH

Terdapat dua perbezaan ketara antara kedua-dua denominasi ini.

Kadar pertukaran CNH vs CNY ditentukan oleh pasaran bebas yang ditetapkan oleh PBOC. Secara umumnya, apa yang dimaksudkan adalah pada sesuatu masa tertentu, akan terdapat perbezaan kadar pertukaran CNH dan CNY apabila dibandingkan dengan matawang asing yang lain.

CNH boleh didagangkan secara bebas berbanding matawang lain di pasaran pertukaran antarabangsa, tanpa sebarang campur tangan daripada kerajaan China, berbeza dengan CNY yang harus mematuhi batasan yang ditetapkan kerajaan China.

Ini bermakna, CNH dan CNY mempunyai penilaian berbeza apabila dibandingkan dengan matawang asing. Kedua-duanya mempunyai pasaran beli, jual dan kadar pasaran pertengahan mereka yang tersendiri. Masalah yang boleh timbul dengan struktur ini adalah ia memberikan peluang kepada bank-bank China untuk mengambil kesempatan terhadap perbezaan harga.

Baik, harap anda jelas dengan apa itu RMB, CNY, CNH dan Yuan.

Rujukan:
1) Statrys
2) World Atlas

You may also like