Mengenal Apa Itu Carry Trade

by Irfan Saleh

Carry trading adalah merupakan satu daripada pelbagai strategi yang wujud dalam melakukan perdagangan matawang di atas talian.

Ia merujuk kepada perbuatan membeli matawang yang mempunyai kadar faedah yang tinggi dengan matawang yang mempunyai kadar faedah yang rendah. Bagi setiap hari anda mengekalkan posisi dagangan anda, broker akan membayar anda perbezaan faedah antara kedua-dua matawang, selagi mana anda berdagang dalam pair yang mempunyai faedah positif.

Carry trade tidak terhad kepada perdagangan matawang sahaja. Secara umum, apa-apa yang melibatkan kadar faedah yang rendah dan kemudiannya dilabur terhadap aset yang mempunyai pulangan yang tinggi juga dipanggil sebagai carry trade. Ia juga digunakan dalam saham, komoditi, bon dan juga hartanah.

Nota (1): Swap adalah nama lain bagi perbuatan carry trade ini dalam perdagangan matawang.

Nota (2): Di Malaysia, akaun trading biasanya hadir dalam bentuk “swap-free.” Justeru, akaun tersebut tidak akan dikenakan sebarang faedah jika anda mengekalkan posisi lebih daripada satu hari. Hubungilah broker anda sekiranya anda kurang pasti adakah akaun anda bebas swap ataupun tidak.

Ingin mengetahui lebih lanjut berkaitan perihal swap? Baca di sini.

Untuk melakukan carry trade, anda perlulah mengenal pasti terlebih dahulu matawang apakah yang mempunyai kadar faedah yang tinggi, dan kadar faedah yang rendah. Sebagai contoh, anggaplah matawang Pound Sterling (GBP) mempunyai kadar faedah 5% dan Dolar AS (USD) mempunyai kadar faedah 2%, dan anda membeli (long) pair GBP/USD tersebut. Perbezaan faedah 3% akan dibayar oleh broker untuk setiap hari anda mengekalkan posisi tersebut selagi mana anda mengekalkan posisi tersebut. Lagi lama anda kekalkan posisi anda, lagi banyak potensi keuntungan anda.

Nota (3): Perbezaan 3% tersebut adalah untuk setahun. Ini bermakna untuk profit sehari, 3% tersebut perlulah dibahagi dengan setahun dan mengandaikan kadar faedah tidak berubah dalam tahun itu.

Nota (4): Ekoran Covid-19 yang melanda pada tahun 2020, kebanyakan bank pusat utama di dunia telah merendahkan kadar faedah mereka, menjadikan carry trade kurang menarik berbanding sebelum ini. Setakat tarikh artikel ini ditulis, dalam lapan matawang utama forex trading, kadar faedah tertinggi adalah 0.25% (New Zealand, Australia, Kanada & Amerika Syarikat) manakala Swiss Franc (CHF – Switzerland) mempunyai kadar faedah terendah iaitu -0.75%.

Kelebihan Carry Trading

Berdagang dalam arah faedah positif adalah bermanfaat disebabkan ia mampu menambah keuntungan trading anda. Ia juga membolehkan anda menggunakan leverage untuk manfaat anda. Apabila broker membayar anda faedah harian untuk carry trade, amaun yang dibayar adalah berdasarkan amaun leverage anda.

Sebagai contoh, anda sedang trade satu posisi dengan saiz lot standard (100,000 USD) atau 1.00 lot, namun realitinya anda hanya menggunakan $500 margin sebenar. Untuk posisi ini, anda akan dibayar faedah terhadap $100,000 tersebut, bukannya $500. Jika dikekalkan, pulangan tahunan memang boleh menjadi besar.

Apa itu leverage? Bacaan lanjut di sini.

Mengapa Ia Berisiko

Biasanya, pasangan matawang yang dianggap terbaik untuk melakukan carry trade bersifat sangat tidak menentu (volatile). Disebabkan itu, jika mahu dilakukan, ia perlulah dilakukan dengan berhati-hati. Pasaran yang sedang bergolak boleh mempunyai kesan yang berat dan pantas terhadap matawang yang dianggap sesuai untuk carry trade. Tanpa pengurusan risiko yang betul, pedagang mungkin akan terkejut dengan perubahan mendadak.

Frasa “carry trade unwind,” adalah satu mimpi ngeri pedagang carry trade. Ia bermaksud penyerahan global yang mana “matawang pendanaan” (matawang dengan kadar faedah yang rendah) secara tiba-tiba menguat dengan agresif seperti mana yang berlaku terhadap Yen Jepun (JPY) ketika Krisis Kewangan sekitar tahun 2008.

Kesimpulan

Jika anda melakukan perdagangan positif faedah dengan matawang yang mempunyai kadar faedah yang tinggi, dan kadar pertukaran kekal sama atau bergerak menyebelahi anda, anda adalah pemenang yang besar.

Jika sebaliknya, kerugian boleh menjadi berlipat kali ganda. Oleh itu, ia hanya patut dipandang sebagai “penyedap” berbanding strategi yang mudah.

Seperti mana strategi trading yang lain, gunakan pengurusan risiko dengan sebaiknya beserta analisis teknikal dan sentimen pasaran. Buang masa sahaja jika anda mengejar faedah harian, tapi trade anda mengalami kerugian besar.

*Artikel ini adalah berbentuk informasi semata-mata memandangkan carry trade adalah salah satu strategi yang digunakan oleh trader di seluruh dunia, bukannya sebagai saranan dalam trading. Anda perlu maklum bahawa strategi ini melibatkan penggunaan kadar faedah.

Rujukan:
1) The Balance
2) Investopedia
3) Global-Rates

You may also like