Mengenali Apa Itu Purchasing Managers Index (PMI)

by Irfan Saleh

Purchasing Managers Index (PMI) ataupun Indeks Pembelian Pengurus adalah merupakan satu indeks yang bertujuan mengukur kesihatan ekonomi sektor pembuatan. Ia juga adalah merupakan antara indikator utama yang paling boleh dipercayai dalam menilai keadaan sesuatu ekonomi.

Data dikumpulkan melalui tinjauan terhadap lebih daripada 400 pembeli pengurus dalam sektor pembuatan dan berdasarkan lima bidang yang berbeza:

  1. Pembuatan
  2. Pesanan baru
  3. Inventori
  4. Penghantaran pembekal, dan,
  5. Paras pekerjaan.

Pelabur, perniagaan dan profesional kewangan adalah antara mereka yang memerhatikan PMI ini dengan teliti.

Jadi siapakah yang mengumpulkan menyusun data dan mengeluarkan laporan PMI ini? Terdapat tiga pengeluar utama laporan PMI iaitu:

  1. Institute for Supply Management (ISM) – digunakan oleh Amerika Syarikat
  2. Singapore Institute of Purchasing and Materials Management (SIPMM) – digunakan oleh Singapura
  3. Markit Group – digunakan lebih 30 negara di seluruh dunia

ISM, SIPMM, dan Markit Group secara berasingan menyusun tinjauan PMI ini setiap bulan dengan merekodkan pandangan perniagaan yang mewakili susunan sektor perniagaan masing-masing. Tinjauan ISM merangkumi kesemua kategori NAICS. Tinjauan SIPMM pula merangkumi kesemua sektor pembuatan. Manakala tinjauan Markit hanya merangkumi syarikat sektor swasta, tidak termasuk sektor awam.

Dalam perdagangan matawang, PMI kebiasaannya merupakan satu berita kewangan yang berimpak tinggi (high impact) diwakili dengan warna merah. Anda boleh melihat berita ini di kalendar ekonomi di laman sesawang seperti Myfxbook ataupun Forex Factory.

PMI pada Januari 2020.

Gambar di atas adalah PMI daripada Markit Group. Di sini, anda akan dapat melihat bahawa PMI daripada Markit mempunyai beberapa versi yang tersendiri.

Jadi apa sebenarnya perbezaan “Markit Services PMI,” “Markit PMI Composite” dan juga “Markit Manufacturing PMI?”

Daripada kesemua ini, PMI utama adalah “Markit PMI Composite” yang merangkumi laporan ringkas mengenai perubahan pada keadaan kerja syarikat swasta dalam sektor pekhidmatan dan sektor pembuatan.

“Markit Services” dan “Markit Manufacturing” pula adalah pecahan daripada “Markit PMI Composite.”

Antara perkara yang menarik mengenai PMI ini adalah anda boleh melihat sektor manakah yang penting bagi sesebuah negara. Misalnya, dalam gambar di atas, “Markit Manufacturing PMI” bagi United Kingdom (U.K) mempunyai impak sederhana (berwarna oren) tetapi jika anda melihat Jerman, PMI yang sama mempunyai warna merah ataupun mempunyai impak yang tinggi.

Ini bermakna, bagi Jerman, sektor pembuatan adalah penting bagi ekonominya manakala bagi U.K, sektor pembuatannya tidaklah sepenting sektor perkhidmatan untuk ekonomi negara.

Memahami PMI

Jadi bagaimana kita mahu memahami PMI?

PMI mempunyai angka daripada 0 sehingga 100. Secara umumnya, PMI di atas 50 mewakili pengembangan apabila dibandingkan dengan bulan yang lalu. PMI di bawah 50 mewakili penguncupan manakala bacaan pada paras 50 menandakan tiada sebarang perubahan dalam ekonomi. Lebih jauh sesuatu bacaan daripada paras 50, ini bermakna sesuatu perubahan adalah lebih besar.

Indeks ini akan diselaraskan secara bermusim, bermakna, ia akan mengikuti bacaan PMI sebelumnya. Bacaan di atas 50 menandakan kebanyakan responden positif dengan keadaan perniagaan semasa. Bacaan di bawah 50 pula bermakna keadaan perniagaan yang semakin memburuk.

Markit PMI Composite bagi Jerman pada 24 Julai 2020.

Cuba lihat graf PMI di atas. Pada 6 Mei 2020, ekoran impak coronavirus yang memaksa perintah berkurung dilakukan, bacaan “Markit Composite PMI” bagi Jerman berada pada paras 17.4, jauh daripada paras normal iaitu 50.0. Apa yang pasti, bacaan 17.4 menunjukkan ekonomi Jerman berada dalam penguncupan yang teruk ketika itu.

Satu lagi paras yang perlu diberi perhatian adalah sekitar 42.0. Mengapa? Teruskan membaca.

Bagaimana PMI Mempengaruhi Keputusan Ekonomi

Tidak dinafikan, PMI adalah satu indikator yang amat penting bagi pelabur yang mahu membentuk pendapat mengenai pertumbuhan ekonomi. Lebih-lebih lagi, kebanyakan pelabur menggunakan PMI sebagai indikator utama pertumbuhan atau kejatuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK). Memberi perhatian terhadap nilai dan pergerakan PMI boleh menghasilkan ramalan yang menguntungkan dalam trend yang terbina daripada keseluruhan ekonomi.

Selain itu, bank-bank pusat turut menggunakan keputusan tinjauan PMI apabila merangka dasar kewangan, yang boleh dilihat melalui minit mesyuarat bank pusat.

Dalam meramalkan pertumbuhan KDNK, bacaan berterusan pada paras lebih tinggi daripada 42 dianggap sebagai penanda aras bagi pengembangan ekonomi. Bacaan berterusan di bawah 42 berkemungkinan menandakan bahawa ekonomi mungkin dalam haluan kemelesetan dan perbezaan antara 42 dan 50 juga boleh menandakan kekuatan pemulihan ekonomi dan sebaliknya dalam KDNK.

Komponen individu PMI juga berguna dalam pelbagai pasaran. Sebagai contoh, pasaran bon melihat pertumbuhan dalam penghantaran pembekal dan harga yang dibayar, disebabkan data ini boleh memberi pandangan terhadap potensi inflasi. Oleh kerana bon adalah aset berpendapatan tetap, inflasi mempunyai kesan buruk yang mampu menjejaskan harga. Secara umumnya, bacaan inflasi yang lebih tinggi bermakna pelabur mungkin mahu mengurangkan pendedahan mereka dalam pasaran bon negara tersebut ekoran potensi harga yang lebih rendah.

Rujukan:
1) Investopedia
2) The Balance
3) FX Empire
4) FX Daily Report
5) Wikipedia

You may also like