Indikator Ekonomi

by Irfan Saleh

Dalam trading, bukan sekadar analisis teknikal sahaja yang perlu anda ketahui. Pernah tak bila trade, tiba-tiba pasaran memberikan “spike” kepada anda? Sedar-sedar dah rugi. Rupa-rupanya ada berita / indikator ekonomi pada waktu tersebut.

Disebabkan itu, adalah penting untuk anda ketahui apa sebenarnya indikator ekonomi ini. Indikator ekonomi adalah merupakan data ekonomi dan kewangan yang membolehkan prestasi ekonomi dianalisis dan prestasi masa depan diramal.

Diterbitkan secara berkala oleh agensi kerajaan dan sektor swasta, indikator ekonomi digunakan oleh pemerhati pasaran untuk mengikuti perkembangan pergerakan pasaran melalui indeks, laporan pendapatan dan ringkasan ekonomi.

Tiada sebab mengapa anda tidak menggunakannya. Ia mudah diakses di laman sesawang seperti Myfxbook dan juga Forex Factory. Selain daripada kemungkinan mengelak daripada kerugian yang tidak diingini, ia juga berpotensi memberikan anda keuntungan lebih daripada jangkaan anda.

Bagaimana Memanfaatkan Indikator Ekonomi?

Indikator ekonomi membantu anda melakukan perdagangan dalam konteks peristiwa ekonomi dan memahami pergerakan harga sewaktu berlakunya peristiwa ini. Anda tidak memerlukan pengetahuan mendalam terhadap ekonomi untuk menggunakan kalendar ekonomi disebabkan tidak semua keluaran data perlu dianalisis secara mendalam.

Sebagai contoh, dengan mengikuti indikator GDP/KDNK atau inflasi dan kekuatan pekerjaan, anda boleh meramal ketidaktentuan pasaran dan mengenal pasti peluang perdagangan.

Anda juga perlu tahu indikator ekonomi apakah yang mempunyai impak yang lebih besar terhadap perdagangan. Sebagai contoh, “leading indicator” berubah SEBELUM ekonomi mula mengikuti trend – bermakna mereka meramalkan perubahan ekonomi.

“Lagging indicators” pula berubah SELEPAS ekonomi sudah mengikuti trend — bermakna mereka mengesahkan perubahan ekonomi.

Indikator Ekonomi yang Penting

Mari kita lihat indikator ekonomi apakah yang paling berguna bagi anda:

GDP (Gross Domestic Product) / KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar)

Ia memberi petanda mengenai pertumbuhan ekonomi sesebuah negara, dan ditentukan oleh keluaran produk, pendapatan dan perbelanjaan. GDP selalu dikaitkan dengan taraf kehidupan. Ia juga merupakan nilai pasaran bagi kesemua perkhidmatan dan barangan yang dihasilkan sesebuah negara dalam tempoh waktu tertentu.

Anda boleh baca mengenai GDP secara lebih mendalam di sini.

NFP (Non-farm payroll)

Laporan bulanan yang dikeluarkan setiap Jumaat pertama oleh Jabatan Buruh Amerika Syarikat. Ia memberikan data statistikal mengenai keadaan semasa pasaran buruh AS. Ia juga digunakan untuk meramal aktiviti ekonomi akan datang.

Anda boleh baca mengenai NFP secara lebih mendalam di sini.

Unemployment Rate

Peratusan mereka yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan. Ia dikira berdasarkan nisbah mereka yang tidak mempunyai pekerjaan dan mereka yang sanggup dan mampu untuk bekerja berbanding jumlah mereka yang sudah bekerja. Ia adalah satu indikator yang berubah mengikut ekonomi (lagging indicator). Ia memberikan petunjuk mengenai kadar faedah dan dasar monetari akan datang.

CPI (Consumer Price Index)

Anggaran statistik yang mengukur perubahan harga perkhidmatan dan barangan pengguna. CPI digunakan sebagai ukuran inflasi oleh kerana ia melaporan perubahan harga dalam lebih 200 kategori.

Anda boleh baca mengenai CPI secara lebih mendalam di sini.

CCI (Consumer Confidence Index)

Mengukur keyakinan pengguna (cth: penurunan drastik dalam keyakinan pengguna mungkin merupakan petanda bagi ekonomi yang sedang melemah).

PMI (Purchasing Managers Index)

Menandakan aktiviti ekonomi. Ia menunjukkan peratusan pekerja syarikat/perniagaan yang bertanggungjawab di atas pemerolehan barangan dan perkhidmatan (dipanggil pembeli pengurus) dalam sektor ekonomi yang tertentu. PMI di atas 50 biasanya menandakan ekonomi yang berkembang, manakala di bawah 50 menandakan penguncupan ekonomi.

Retail Sales

Laporan bulanan yang melaporkan perbelanjaan pengguna (indikator penting GDP di AS). Sebagai indikator mengenai corak pembelian pengguna yang luas, ia boleh digunakan untuk menilai arah pergerakan ekonomi dalam masa terdekat.

Average Hourly Earnings

Leading indicator” mengenai perbelanjaan pengguna. Ia menilai paras inflasi berdasarkan kesemua sektor ekonomi (tidak termasuk industri pertanian) apabila gaji dibayar kepada pekerja.

IPCU (Industrial Production and Capacity Utilization)

Mengukur aktiviiti ekonomi. Ia dikeluarkan oleh Federal Reserve (Bank Pusat AS) dalam bentuk laporan bulanan, dan ia menunjukkan data bulan sebelumnya mengenai jumlah pengeluaran industri AS. IPCU menggalakkan pembelian atau jualan dalam industri tertentu.

Durable Goods Orders

Indikator utama mengenai aktiviti sektor pembuatan akan datang.

ECI (Employment Cost Index)

Siri ekonomi suku tahunan yang menunjukkan kecenderungan peningkatan atau kejatuhan kos pekerjaan. Ia mengukur inflasi dalam gaji, upah dan manfaat majikan di AS.

Gross Domestic Product Deflator

Ukuran paras harga bagi kesemua barangan dan perkhidmatan dalam sesebuah ekonomi. Penggunaan deflator membantu mengira perbezaan antara KDNK nominal dan KDNK sebenar.

IP (Industrial Production)

Menandakan perubahan keluaran bagi sektor industri (cth: pembuatan, perlombongan). Ia menunjukkan kapasiti industri bagi sesebuah negara.

IFO (Institute for Economic Research)

Tinjauan perniagaan berdasarkan maklumbalas lebih daripada 7,000 pemimpin perniagaan Jerman. Berdasarkan data ekonomi terbaru, ia memberikan penilaian mengenai keadaan ekonomi semasa dan akan datang di Jerman dan Eropah.

International Trade (Trade Balance)

Mengukur perbezaan – import vs. eksport – kesemua barangan dan perkhidmatan. Trend pasaran ditunjukkan melalui perubahan dalam import dan eksport, beserta imbangan dagangan antarabangsa.

NAPM Index (National Association of Purchasing Manager)

Mengukur ekonomi secara umum, dan khusus kepada sektor pembuatan. Ia merumuskan tinjauan lebih 250 syarikat di kesemua negeri di AS, dan ia mengira data mengenai pengeluaran, pesanan baru dan pekerjaan.

PPI (Producer Price Index)

Indikator ekonomi yang kerap digunakan yang mengukur perubahan purata dalam harga jualanya yang diterima oleh pengeluar domestik dalam sektor pembuatan, perlombongan, kemudahan elektrik dan pertanian.

Tankan (Short-period Economic Observation)

Tinjauan perniagaan suku tahunan yang dikeluarkan oleh Bank of Japan (BoJ) mengenai status ekonomi Jepun. Ia mempengaruhi kadar matawang dan saham secara signifikan, jadi ia dianggap sebagai indikator kewangan yang utama di Jepun.

You may also like