Apakah Harga Minyak WTI Yang Negatif Bererti Harga Minyak Turut Negatif di Malaysia?

by Irfan Saleh

Pada 21 April (Selasa), dunia dikejutkan apabila harga penanda aras minyak mentah global, West Texas Intermediate (WTI) telah jatuh ke bawah paras sifar, sehingga mencecah -$37.69. Satu peristiwa bersejarah yang pertama kali terjadi seumpamanya dalam pasaran minyak dunia.

Namun sebenarnya, di sebalik kekecohan yang berlaku, harga minyak negatif tersebut merujuk kepada harga kontrak niaga hadapan WTI bagi bulan Mei yang berakhir pada 21 April 2020. Disebabkan tidak lagi mahu memegang kontrak niaga hadapan ekoran bekalan yang terlalu banyak serta pasaran minyak yang merosot teruk, maka penjual terpaksa membayar pembeli untuk mengambil kontrak (dan minyak) daripada mereka. Ini kerana, memegang kontrak melepasi tarikh yang ditetapkan akan mencetuskan kewajiban untuk pihak tersebut membeli aset tadi.

Nota: Niaga hadapan atau futures akan dikaji pada masa akan datang.

Disebabkan itu, jika anda melihat harga WTI bagi bulan Jun semalam, harga minyak adalah positif, bukannya negatif.

Untuk makluman, di dunia ini, apabila berbicara mengenai minyak global, terdapat dua penanda aras harga minyak yang lazimnya diguna pakai iaitu Brent (UK) dan juga WTI (AS).

Nota: Malaysia juga mempunyai minyak mentahnya yang tersendiri – Tapis — yang turut dijadikan sebagai penanda aras harga di Singapura. Boleh baca di sini.

Satu persoalan yang mungkin kita tertanya-tanya, apabila WTI jatuh menjunam sehingga ke paras negatif, adakah ini bermakna harga minyak petrol di Malaysia akan turut menjadi negatif? Adakah ini bermakna jika kita mengisi minyak pada Jumaat ini (pengumuman harga minyak mingguan oleh kerajaan), kita berpeluang isi minyak dan dapat duit? Hehe.

Nampak sangat tidak masuk akal, tetapi kalau harga minyak boleh negatif, mustahil ke terjadi sedemikian rupa?

Malangnya, jawapannya adalah tidak.

Ini kerana, Malaysia menggunakan penanda aras yang berbeza daripada Brent dan WTI iaitu Mean of Platts Singapore atau MOPS.

Mean of Platts Singapore

Jadi apa itu MOPS? MOPS adalah asas dalam memberikan harga bagi kebanyakan produk petroleum di Asia Tenggara. Ia merujuk kepada harga purata yang dilaporkan oleh agensi Platts untuk produk petroleum di hub perdagangan Singapura.

Nota: Platts atau nama penuhnya S&P Global Platts adalah penyedia maklumat tenaga dan komoditi serta sumber penilaian harga penanda aras dalam pasaran komoditi fizikal. Selain Singapura, Platts turut bertanggungjawab memberikan penilaian harga harian kepada hub perdagangan besar seperti Utara barat Eropah dan Pantai Teluk AS.

Jadi, bagi kebanyakan produk petroleum, MOPS adalah harga penanda aras di pasaran Asia. Dan harga MOPS bukanlah negatif seperti WTI.

Nampaknya tak dapatlah nak merasa isi minyak dan diberi duit Jumaat ni.

Rujukan:
1) Energy Insights by McKinsey
2) Wikipedia
3) Buletin Utama TV3

You may also like